KLANG - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah jenis syabu dan pil ekstasi seberat 113 kilogram bernilai RM 7.2 juta pada Khamis lalu.
Sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan untuk diseludup ke seberang.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Benteng.
Menurutnya, pihaknya menahan empat lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia yang terlibat secara langsung dalam cubaan menyeludup dadah ini ke Indonesia.
Katanya, kes itu adalah tangkapan terbesar untuk tahun ini.
"Op Benteng yang diadakan di perairan Semenanjung dan Sabah ini melibatkan sembilan kapal, 50 bot dan sebuah pesawat Bombardier CL 415 dan helikopter AW 139 milik APMM terlibat sepenuhnya.
"Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar juga beroperasi 24 jam sehari setiap tujuh hari seminggu bagi mengawasi semua jenis pergerakan vesel dalam perairan negara pada waktu siang dan malam di Sepanjang Selat Melaka," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan persiapan dan kesiapsiagaan aset APMM Selangor yang terlibat dalam Op Benteng di sini malam tadi.
Zubil berkata, pada tahun ini bermula Januari hingga 15 Mei lalu, pihaknya telah melalukan 60,584 pemeriksaan dan 11,585 penggeledahan dan 343 tangkapan ke atas pelbagai kesalahan.
Katanya, sebahagian besar kes melibatkan tangkapan di bawah Akta Perikanan iaitu dengan jumlah 174 kes, Akta Imigresen (47 kes) dan Ordinan Perkapalan Saudagar dengan 39 kes dan diikuti lain-lain akta.