Bersatu Selangor sokong Muhyiddin pangku jawatan pengerusi

Iklan
Abdul Rashid

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menyuarakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi Bersatu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat dan majlis penerangan kepada semua Ketua Bahagian Bersatu di Selangor pada 13 Mei lalu berhubung pergolakan politik semasa tanah air.

Menurutnya, mesyuarat itu juga bagi memberi penerangan berhubung kedudukan Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Katanya, hasil mesyuarat tersebut Bersatu Selangor turut membuat ketetapan sebulat suara menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU14) memperlihatkan rakyat memilih PH untuk memerintah negara.

Iklan

"Bagaimanapun selepas beberapa bulan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih sebagai Perdana Menteri ketujuh didesak pihak tertentu di dalam PH supaya meletakkan jawatan. Keadaan ini menyebabkan kegusaran dalam kalangan rakyat seolah-olah PH tidak kukuh dan rapuh.

"Dalam masa sama, beberapa pilihan raya kecil (PRK) diadakan di seluruh negara namun PH mengalami kekalahan kerana sokongan rakyat merosot disebabkan pergolakan dalam PH,” katanya.

Abdul Rashid berkata, melihat kepada situasi itu, Muhiyiddin kemudian memulakan gerakan bersama-sama dengan beberapa pemimpin parti lain dan mengorak langkah untuk menubuhkan gabungan parti dinamakan sebagai Perikatan Nasional.

Menurutnya, penubuhan Perikatan Nasional kerana pihak itu berpendapat jika Bersatu kekal dalam PH, besar kemungkinan parti berkenaan akan mengalami kekalahan pada PRU15, Bersatu kemudian keluar daripada PH pada 23 Februari lalu.

"Ditakdirkan pula, pada 24 Februari lalu, Dr Mahathir mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Pengerusi Parti Bersatu atas alasan tidak mendapat sokongan daripada Bersatu dan enggan bersekongkol dengan UMNO.

"Demi kepentingan negara, Tan Sri Muhiyiddin mengambil tindakan wajar mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen beberapa parti untuk menubuhkan kerajaan. Beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong dan kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan yang sah di bawah Artikel 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu Selangor menyanjung tinggi dan menghormati serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Mahathir yang mencipta sejarah negara dan dunia sebagai seorang Perdana Menteri yang lanjut umur tetapi masih cekap dan berkesan dalam pentadbiran negara.

Bagaimanapun, oleh kerana Dr Mahathir mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Malaysia maka peruntukan di bawah Artikel 16(9) Perlembagaan Bersatu adalah terpakai.

"Bersatu Selangor mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersama-sama pada asalnya menubuhkan Bersatu dan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden Bersatu dengan cemerlang dan berkesan.

"Bagaimanapun dengan tindakan beliau yang menongkah arus dan tidak sehaluan dengan Presiden Bersatu, menubuhkan kerajaan Kedah bersama parti pembangkang dan mengambil keputusan duduk di sebelah parti pembangkang dalam persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu maka Peruntukan di bawah Artikel 10(2) Perlembagaan Bersatu adalah terpakai.

"Berdasarkan fakta yang tersebut dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu maka Bersatu Selangor secara sebulat suara menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan pemangku Pengerusi Bersatu,” katanya.