Polis Kelantan pantau jumlah kenderaan di rumah

Iklan
Hasanuddin Hassan

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan akan menyemak nombor pendaftaran kenderaan jika didapati banyak kereta diletakkan di sekitar kawasan kediaman semasa Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tiada perantau yang berjaya meloloskan diri di sekatan jalan raya di sempadan negeri terlepas daripada dikenakan tindakan tegas oleh pihak keselamatan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Iklan
Iklan

"Kalau tengok sebuah rumah ada banyak kereta kita akan periksa satu persatu. Kalau tiada dokumen (kelulusan perjalanan) rentas negeri kita akan tarik kereta ke balai polis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Iklan

Hasanuddin berkata, pihaknya akan membuat rondaan di 'laluan tikus' yang dipercayai digunakan oleh perantau untuk masuk ke Kelantan bagi mengelakkan sekatan jalan raya di sempadan negeri.

Beliau berkata, terdapat kebimbangan wabak Covid-19 akan kembali aktif di Kelantan selepas 32 hari berada dalam zon hijau memandangkan terdapat lebih 4,500 pelajar pulang ke negeri ini secara berperingkat selepas dibenarkan berbuat demikian oleh kerajaan sejak awal bulan ini.

Iklan

"Jumlah ini hanya membabitkan pelajar sahaja, tak masuk lagi orang awam dan mereka yang tinggal di sempadan negeri. Itu yang merisaukan kita sedikit. Andaikata ada seorang yang positif Covid-19 berpuluh-puluh orang lain pula akan dijangkiti.

"Sebab itu di sekatan jalan raya memang kita cukup serius. Saya minta maaf kalau ada yang diarahkan berpatah balik. Sepatutnya dia bersyukur kerana diarahkan berpatah balik daripada terpaksa bermalam dalam lokap," katanya.

Beliau berkata, tahap pematuhan terhadap PKPB di Kelantan adalah sekitar 95 peratus dengan kebanyakan premis mengikut arahan kerajaan dengan mencatat nama pelanggan, memeriksa suhu dan menyediakan pencuci tangan.

"Bagaimanapun aktiviti penjarakan sosial masih kurang diamalkan oleh rakyat Kelantan dan kita harap mereka dapat patuh dengan saranan Kementerian Kesihatan," katanya.- Bernama