PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan pihaknya telah menghantar rayuan untuk membatalkan keputusan tuntutan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus sebagaimana yang telah ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.
Sebaliknya, Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, pihaknya hanya bercadang untuk menangguhkan atapun meminta pengurangan tuntutan gaji pemain berusia 30 tahun itu daripada FIFA.
"Mungkin ada sedikit salah faham daripada kenyataan itu. Kami tidak memohon untuk membatalkan, apatah lagi mencabar. Untuk peringkat pertama ini, kami hanya meminta penjelasan atau dalam istilah undang-undangnya ground decision berhubung isu ini.
"Permohonan itu sudah kami hantar kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan sedang menunggu jawapan. Selepas mendapat penjelasan daripada FIFA, barulah kami akan buat rayuan untuk meminta penangguhan atau pengurangan pembayaran tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan untuk mengetepi dan membatalkan keputusan FIFA ke CAS berhubung isu itu.
Namun, kenyataan Ahmad Muzakkir itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan penyokong Kelantan khsususnya sama ada KAFA mahu membatalkan keputusan yang dibuat FIFA.
Terdahulu, FIFA telah mengarahkan KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM629,620.28 kepada Cassio dalam tempoh sebulan bermula 23 April lalu.
Pada masa sama, KAFA turut melancarkan tabung derma untuk membayar tunggakan gaji pemain kelahiran Brazil itu, sekali gus meringankan beban kewangan ditanggung mereka ketika ini.
Mengulas lanjut, Hussin optimis permohonan yang dihantar KAFA kepada CAS baru-baru ini mampu menghadirkan keputusan positif berdasarkan beberapa kes terdahulu.
"Untuk kes seperti itu sebelum ini, peringkat pertama ini biasanya akan diterima oleh CAS dan kami akan mempunyai tambahan masa 45 hari untuk menjelaskan bayaran selepas tempoh 23 Mei berakhir.
"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keputusan CAS nanti dan kami mengharapkan sesuatu yang positif akan diperoleh,” ujarnya.