11 barang kawalan sempena Aidilfitri

Iklan
Alexander Nanta Linggi menunjukkan harga ayam selepas mengumumkan 11 jenis barangan yang ditentukan harga maksimum melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk 11 barang kawalan bagi sambutan Aidilfitri akan bermula pada 20 Mei ini selama 15 hari sehingga 3 Jun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, untuk Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pula, masing-masing turut melibatkan 11 barang dan akan bermula pada 28 Mei sehingga 3 Jun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara barang yang ditetapkan harga maksimum bagi sambutan Aidilfitri ialah ayam hidup RM6.20 sekilogram (runcit) dan RM5.70 (borong); ayam standard RM7.50/kg (runcit) dan RM6.70 (borong); telur ayam gred A pada 40 sen sebiji (runcit) dan 38 sen (borong); telur ayam gred B pada 39 sen (runcit) dan 37 sen (borong); dan daging lembu tempatan RM34/kg (runcit) dan RM32 (borong).

"Bagi Pesta Kaamatan pula, harga ayam hidup ialah RM6.60/kg (runcit) dan RM5.90 (borong); ayam standard RM9.50/kg (runcit) dan RM8.50 (borong); telur ayam gred A pada 41 sen sebiji (runcit) dan 39 sen (borong); telur ayam gred B pada 40 sen sebiji (runcit) dan 38 sen (borong); daging khinzir (perut) RM22/kg (runcit) dan RM20 (borong); daging khinzir (daging dan lemak) RM20/kg (runcit) dan RM18 (borong).

Iklan

"Untuk Hari Gawai, harga maksimum ayam hidup ialah RM6.70 (runcit) dan RM6 (borong); ayam standard RM8.50 (runcit) dan RM7.60 (borong); telur ayam gred A sebiji 39 sen (runcit) dan 37 sen (borong); telur ayam gred B sebiji 38 sen (runcit) dan 36 sen (borong); daging khinzir (daging dan lemak) RM18.50/kg (runcit) dan RM16.50 (borong)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu ditanya mengenai harga ayam standard yang mencecah lebih RM7 sekilogram sekarang, Nanta berkata, harga tersebut adalah pada paras normal.

Iklan

"Harga ayam standard sampai RM7 lebih itu normal sejak beberapa tahun sudah, ini adalah paras dia. Semasa COVID-19 harga turun sebab permintaan berkurangan kerana kedai tidak buka. Kalau naik sekarang jangan bandingkan masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebab senario itu luar biasa. Bandingkan dengan masa tahun-tahun lampau ketika tidak ada PKP, paras sekarang masih paras yang normal," katanya.

Pada masa sama beliau turut mengingatkan peniaga agar beretika dalam menjalankan perniagaan sementara pengguna disaran tidak melakukan pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan.

"Sepanjang pelaksanaan skim ini, penguat kuasa kementerian akan digerakkan bagi memantau pasaran dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang ingkar peraturan skim harga maksimum tersebut," katanya.

Beliau berkata, menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, peniaga ingkar berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, sementara bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu untuk barang terkawal, kompaun sehingga RM5,000 boleh dikenakan.- Bernama