Daun ketumbar, parsli dan saderi naik harga sejak Ramadan

Iklan
Harga daun ketumbar, parsli (daun sup) dan saderi Cina telah meningkat secara mendadak di pasaran Pulau Pinang sejak ketibaan bulan Ramadan.

GEORGETOWN - Harga daun ketumbar, parsli (daun sup) dan saderi Cina telah meningkat secara mendadak di pasaran Pulau Pinang sejak ketibaan bulan Ramadan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, satu tinjauan yang dilakukan pihaknya pada 18 Mei menunjukkan bahawa harga kesemua herba itu telah meningkat lima kali ganda berbanding harga biasa.

Iklan
Iklan

"Daun ketumbar yang diimport dari Thailand meningkat daripada RM10 sekilogram (kg) kepada RM22 sekilogram tiga minggu lepas dan kini harganya ialah RM50. Malah harga daun ketumbar yang ditanam secara tempatan turut meningkat dua kali ganda daripada RM20 sekilogram kepada RM47 sekilogram.

"Permintaan bagi ketumbar Thailand adalah tinggi kerana ia lebih wangi berbanding yang ditanam secara tempatan. Harga daun sup meningkat daripada RM4 sekilogram kepada RM10 sekilogram. Menurut peniaga, peningkatan itu disebabkan permintaan tinggi terhadap kesemua herba ini terutama semasa bulan Ramadan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Justeru itu, Mohideen menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan Malaysia 2011.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar menanam sendiri herba terbabit berbanding membelinya di pasaran tempatan.

Iklan

"Ia tidak memerlukan ruang yang banyak, sebuah bekas atau periuk boleh digunakan dan ia mudah dijaga," katanya. - Bernama