Isfadiah didik anak-anak praktik amalan berzikir dan berselawat

Iklan
Isfadiah didik anak-anak bangun seawal jam 4 pagi bagi menunaikan solat sunat taubat atau solat sunat hajat.

SHAH ALAM – Ibadah berpuasa di bulan Ramadan pada tahun ini memberi peluang kepada pendakwah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki untuk menjalani Rukun Islam ketiga bersama anak-anak dan suami.

Menurutnya, peluang berada di rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melatih beliau sekeluarga untuk mempraktikkan amalan berzikir seperti sayyidul istighfar, selawat ibrahimiyah dan asmaul husna.

Iklan
Iklan

"Menjalani ibadah dalam dalam bulan Ramadan tahun ini agak berbeza, selain berada dalam tempoh PKP, saya bersama anak-anak mempraktikkan amalan berzikir kepada ALLAH SWT.

"Ada beberapa zikir tertentu seperti sayyidul istigfar wajib 100 kali untuk diri sendiri. Kami duduk diam-diam dan masing-masing memegang tasbih. Selain daripada istighfar, kami juga mempraktikkan selawat ibrahimiyah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Iklan

Selain berzikir dan berselawat, Isfadiah juga membiasakan alunan Asmaul Husna iaitu nama-nama ALLAH SWT yang ‘dekat’ dengan-Nya seperti Ya Salam.

"Kita biasakan lidah dengan menyebut Asmul Husna, nama-nama ALLAH SWT contohnya Ya Salam di mana kita minta keselamatan dan kesihatan daripada ALLAH SWT.

Iklan

"Kami juga biasakan setiap malam dengan bacaan selawat istighfar dan doa. Saya mendisiplinkan anak-anak supaya menghabiskan baca istighfar sehingga ke waktu sahur sebelum terbit matahari,” katanya.

Menurutnya, setiap anak-anaknya mempunyai zikir tersendiri untuk diamalkan.

Mengulas lanjut, Isfadiah berkata, jika sebelum ini setiap kali qiamulail (bangun malam) dan melakukan solat sunat, mereka akan melakukannya secara sendiri-sendiri kerana tidak semua berada di rumah dan dapat berkumpul seperti tahun ini.

"Saya akan mengejutkan anak-anak pada jam 4 pagi dan sekitar 4.30 pagi, kami sekeluarga akan solat sunat taubat atau solat sunat hajat dengan diimamkan oleh suami.

"Selain itu juga, saya mewujudkan jadual pembacaan buku-buku ilmiah dalam kalangan kami sekeluarga.

"Saya sudah senaraikan hampir 20 buah buku sepanjang Ramadan dan PKP ini tujuannya adalah untuk penghayatan kepada ilmu yang ada. Untuk mendapat penghayatan itu ia perlulah dibaca,” katanya.