Majlis Olimpik Malaysia (MOM) optimis atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) 2020 cukup bersemangat untuk kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
Menurut Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, kelonggaran khas yang diberikan pihak kerajaan membolehkan barisan atlet negara memulakan sesi latihan di persekitaran paling selamat.
Iklan
Iklan
"Begitupun, kesihatan dan kesejahteraan atlet dan pegawai tetap menjadi keutamaan kami. MOM akan terus berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), persatuan sukan kebangsaan (NSA), atlet dan pegawai sepanjang sesi latihan itu nanti.
"Kami juga akan cuba menyesuaikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada agar latihan normal dapat disambung semula,” kata Mohamad Norza dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju untuk memberi kelonggaran khas yang membabitkan 265 individu termasuk 57 atlet memulakan latihan pada 1 Jun depan.