SHAH ALAM - Pengusaha-pengusaha perkhidmatan kedai gunting rambut terus terhimpit apabila kerajaan masih belum memberi kata putus berhubung kebenaran operasi perniagaan tersebut bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Presiden Persatuan Pengusaha Salon Rambut Malaysia (Mahas), A K Selvan,55, berkata, keadaan sesetengah pengusaha kedai gunting rambut terutamanya di kawasan luar bandar ketika ini amat teruk selepas hampir dua bulan lebih tidak dapat beroperasi.
Beliau berkata, rata-rata pengusaha kedai gunting rambut juga dari golongan pertengahan dan memperoleh pendapatan hasil dari perniagaan tersebut sahaja.
"Kini ramai yang sudah tiada sumber pendapatan, malah ada yang sampai terpaksa membuat pinjaman wang untuk meneruskan kehidupan.
"Kami ada keluarga untuk ditanggung, sewa premis masih perlu dibayar, jika keadaan ini berterusan (tidak benar operasi), mungkin 80 peratus daripada kami terpaksa tutup kedai terus kerana tak mampu bayar sewa premis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Selain itu, Selvan berkata, beliau juga bimbang perkara yang berlaku di negara lain seperti kes bunuh diri di kalangan pengusaha kedai gunting rambut kerana tertekan boleh juga berlaku di negara ini.
Katanya, beliau berharap keadaan di sini tidak akan menjadi seteruk itu dan merayu agar kerajaan dapat membenarkan semula operasi perkhidmatan ini sebelum hari raya.
"Perayaan Aidilfitri tinggal beberapa hari saja dan kebiasaannya kami akan dapat rezeki lebih pada waktu begini berbanding hari biasa.
"Kami di Mahas mohon kerajaan buat keputusan segera, beri kelonggaran kepada kami untuk beroperasi dan apa sahaja SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kami akan ikut dan patuh," katanya.
Selvan berkata, beliau percaya sekiranya kerajaan membenarkan operasi kedai gunting rambut, semua pengusaha pasti akan mematuhi segala SOP ditetapkan kerana keselamatan mereka dan pelanggan amat penting.
"Kami tak akan bahayakan pelanggan termasuk diri sendiri," katanya.