GERIK - Sekumpulan lelaki lari lintang-pukang ke arah semak dan sungai ketika diserbu sepasukan polis selepas didapati berkumpul beramai-ramai di sebuah dangau di Kampung Talong Luat, Lenggong di sini semalam.
Serbuan hasil maklumat awam sekitar jam 12.30 tengah hari itu turut mendapati kumpulan berkenaan menjalankan aktiviti minum air ketum.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pemeriksaan dilakukan tujuh anggota polis bermotosikal di lokasi itu mendapati, terdapat tiga motosikal diletakkan berhampiran dangau terbabit.
"Apabila nampak kehadiran polis, mereka sempat melarikan diri ke dalam semak dan arah sungai berdekatan.
"Terdapat beberapa botol serta jug yang berisi air ketum ditinggalkan di lokasi serbuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, dangau tersebut telah didirikan di atas tanah rizab sungai oleh individu tidak dikenali.
"Tiada tangkapan atau rampasan dibuat, hanya pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar kawasan itu," katanya.