Covid-19: Singapura mula pendekatan terkawal 2 Jun

Iklan
Pengawal keselamatan yang memakai topeng ketika mengoperasikan pengimbas suhu pengimejan termal FLIR di Jewel Mall, Lapangan Terbang Changi, Singapura baru-baru ini. - Foto 123RF

SINGAPURA - Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura Mengenai Situasi Covid-19 telah membuat penilaian dan memutuskan untuk menghentikan terus tempoh pemutus rantaian penularan penyakit itu di negara berkenaan pada 1 Jun ini, sekali gus membenarkan tiga perempat ekonominya untuk kembali beroperasi, dan satu pertiga daripada tenaga kerja kembali bekerja dalam fasa permulaan.

Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong pada sidang media maya Pasukan Petugas berkenaan di sini hari ini berkata, republik itu kemudiannya akan memulakan pendekatan terkawal bagi menyambung kembali aktiviti dengan selamat dalam tiga fasa bermula 2 Jun bagi mengurangkan risiko gelombang kedua jangkitan, sebagaimana yang dialami banyak negara lain selepas mereka menamatkan langkah-langkah kawalan.

Iklan
Iklan

Gan yang juga pengersi bersama Pasukan Petugas itu mengakui semasa Singapura menyambung semula lebih banyak aktivitinya, ia menjangka tiada peningkatan dalam kes baharu harian akan berlaku, dan kunci utama kawalan adalah untuk mengesan kes baharu dengan pantas dan menghalang peningkatan ketara jumlah kes, atau kemunculan kluster lebih besar.

"Jika kita terus memastikan keadaan sentiasa terkawal, kemudiannya kita akan dapat terus membuka lebih banyak sektor perniagaan dan bergerak ke arah fasa dua,” katanya dan menambah fasa pertama mungkin akan mengambil masa dua tempoh inkubasi.

Iklan

Dalam tempoh fasa pertama pembukaan, Gan berkata, semasa republik itu kembali menggerakkan 'aktiviti ekonomi berisiko rendah dan lebih kritikal' lebih ramai penduduk akan dibenarkan kembali bekerja, manakala sekolah-sekolah juga akan dibuka secara beransur-ansur dengan penuh waspada.

Sementara itu Menteri Pembangunan Nsional Singapura, Lawrence Wong berkata, beberapa sektor perniagaan tidak akan dapat dibuka dalam fasa pertama, antaranya termasuk kedai runcit, dan perkhidmatan peribadi.

Iklan

"Mereka boleh mula bersedia untuk fasa kedua, tapi di fasa pertama disebabkan risiko selepas penilaian kita, mereka masih perlu menghentikan operasi,” kata Wong yang juga pengerusi bersama pasukan petugas itu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi sokongan kepada sektor perniagaan dan juga para pekerja mereka, kerana mereka masih boleh meneruskan perniagaan mereka nanti.

Menurut Wong, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan mengumumkan langkah lebih terperinci yang akan disediakan kerajaan minggu depan di Parlimen pada 26 Mei.

Sementara itu Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing berkata, dalam fasa pertama, kebanyakan kemudahan perkilangan dan pengeluaran seperti semikonduktor, farmaseutikal, teknologi perubatan, kejuruteraan ketepatan, serta tenaga dan bahan kimia akan dibenarkan untuk disambung semula.

"Bermula 2 Jun, kita jangka kira-kira satu pertiga daripada para pekerja kita akan dapat kembali bekerja di tempat kerja dan juga dari rumah masing-masing. Ini akan membenarkan lebih tiga perempat daripada ekonomi kita kembali beroperasi seperti biasa,” katanya. - Bernama