Covid-19: Kisah suka, derita isteri di sebalik tabir PKP

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 18 Mac lalu, banyak kisah tragik dikongsi media tentang hidup sengsara wanita bergelar isteri.

Mereka ini menjadi mangsa keganasan rumah tangga angkara suami kaki pukul, pemabuk, penjenayah, perogol dan penagih dadah.

Iklan
Iklan

Rumah yang sepatutnya menjadi 'syurga', tempat berlindung dan tempoh PKP yang merupakan peluang untuk hidup berkasih sayang, sebaliknya bertukar menjadi 'mimpi ngeri' buat sesetengah isteri yang berterusan menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental lelaki yang bergelar suami.

Antara kes yang menggemparkan masyarakat ialah kisah tragik yang menimpa seorang wanita berusia 40 tahun yang teruk dibelasah suaminya.

Iklan

Selepas laporan polis dibuat, suami wanita itu, seorang penganggur berjanji untuk berdamai dan menyelesaikan masalah dengan baik. Lelaki itu sebaliknya, apabila pulang ke rumah, bertindak menikam isteri serta bapa mangsa sebelum menggantung diri.

Kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP

Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan ketika diminta mengulas lanjut mengenai kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP berkata, dalam tempoh 44 hari bermula 18 Mac hingga 30 April, pihaknya membuka sebanyak 526 kertas siasatan.

Iklan

Menurut beliau, kebanyakannya melibatkan ugutan jenayah (Seksyen 506 Kanun Keseksaan), mendatangkan cedera tanpa senjata (Seksyen 323KK) dan kes-kes lain seperti mendatangkan cedera parah dan khianat.

"Secara keseluruhan kes menunjukkan penurunan 15 peratus berbanding tempoh sama sebelum PKP iaitu dari 3 Feb hingga 17 Mac di mana 621 kertas siasatan dibuka.

"Namun ia mungkin juga berpunca daripada faktor PKP sendiri contohnya mangsa tidak mempunyai akses talian telefon dan tidak dapat keluar rumah untuk membuat laporan polis kerana kurangnya pengangkutan awam beroperasi.

"Penurunan juga mungkin berkait arahan duduk di rumah yang sekali gus menyaksikan tiada kes pergaduhan melibatkan isu cemburu di tempat kerja, isteri balik lewat sehingga tidak masak selain yang membabitkan pihak tidak tinggal sebumbung seperti adik-beradik dan ipar-duai,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan statistik polis, tiga punca utama keganasan rumah tangga adalah selisih faham isu kekeluargaan yang menyumbang sebanyak 45 peratus daripada jumlah kes, penyalahgunaan dadah (20 peratus) dan masalah kewangan (10 peratus) selain faktor lain seperti mabuk, cemburu, panas baran dan perebutan harta.

Talian hayat mangsa keganasan

Di sebalik jalur kisah menyayat hati menimpa suri rumah tangga ini, banyak pihak sedia menghulurkan bantuan bagi membawa mereka yang terperangkap dalam penderitaan seperti ini untuk keluar daripada cengkaman keganasan suami.

Antaranya ialah pihak kerajaan sendiri menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain barisan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita, Love Yourself Association dan Befrienders Kuala Lumpur.

Kebanyakannya menyediakan bantuan berbentuk sokongan emosi, kaunseling, khidmat nasihat, bimbingan, terapi emosi dan kerohanian dengan satu matlamat iaitu memberi sinar baharu dalam kehidupan mangsa.

Di pihak KPWKM, khidmat panggilan telefon dan WhatsApp Talian Kasih menerima 353 pertanyaan dan aduan kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac 2020 hingga 25 April 2020.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 103 kes dipanjangkan untuk siasatan lanjut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) terlibat, selain baki 250 panggilan melibatkan pertanyaan kes keganasan rumah tangga diselesaikan oleh petugas Talian Kasih.

PKMD berfungsi menjalankan siasatan kes di peringkat daerah lokasi pemanggil terlibat seterusnya membuat tindakan susulan seperti laporan polis serta menempatkan mangsa di rumah perlindungan berdasarkan siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

JAKIM juga menerusi talian MyCareCov19 tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kepada mereka yang berdepan masalah keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP.

Sejak dilancar 13 April lalu sehingga 27 April ini, JAKIM menerima 841 panggilan masuk dan 136 pesanan menerusi e-mail serta membuat 253 panggilan keluar kepada golongan sasar terpilih.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof dalam satu temubual bersama Bernama Radio baru baru ini berkata, panggilan berkaitan urusan akad nikah, cerai dan rujuk mendominasi panggilan masuk.

"Terdapat kes di mana si suami melafazkan talak pada isteri ketika PKP dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya (rujuk semula), jadi kita beri panduan sewajarnya. Selepas tamat PKP kes mereka boleh dirujuk di mahkamah syariah,” katanya.

Banyak panggilan mohon diselamatkan diterima

Bagi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), pihak berkenaan menerima 234 panggilan telefon dan mesej pada minggu ketiga April, iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding purata 63 pada minggu-minggu sebelum pelaksanaan PKP.

Ketua Kempen WAO, Tan Heang-Lee berkata, antara aduan keganasan rumah tangga yang diterima ialah kes seorang isteri dikurung, dipukul dan dicekik pasangan sepanjang PKP selain kes lain seperti penderaan seksual atau isteri ‘dirogol’ suami sendiri.

"Seorang mangsa menghantar WhatsApp kepada talian bantuan WAO kerana terperangkap di rumah bersama suami yang memukul dan mencekiknya sehingga berada dalam keadaan ketakutan.

"Di situ kami membantu dengan menghubungi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dan memberi maklumat kepada polis untuk menyelamatkan mangsa serta mendapatkan rawatan. Kini mangsa berada di tempat selamat,” katanya.

Menurut Heang-Lee, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, KPWKM, Kementerian Kesihatan dan agensi lain bagi melicinkan operasi membantu golongan yang berkenaan.

Sementara itu, pengasas Love Yourself Association (LYSA) Nur A’minahtul Mardiah Md Nor pula mempunyai cara tersendiri untuk mendekati golongan dihimpit masalah keganasan rumah tangga iaitu dengan menggunakan platform media sosial Twitter bagi berkongsi rasa hati.

"Pada 17 April lalu saya menulis di Twitter dengan tanda pagar #WeCare beserta kod rahsia bantuan iaitu ‘nak order’, ‘Delivery ASAP’ dan ‘Kenapa tak deliver lagi’ yang bertujuan memudahkan mangsa keganasan rumah tangga, mangsa seksual dan kesihatan mental berkomunikasi.

"Kicauan itu mendapat 11,900 ulang kicau dan kami berjaya membantu mangsa keganasan seksual, keganasan rumah tangga serta mangsa dera yang tiada tempat untuk melarikan diri semenjak PKP,” katanya.

A’minahtul berkata antara aduan diterima termasuk kes isteri yang dijadikan hamba seks, suami penagih dadah dan sering melakukan penderaan, suami membawa anak kecil ke kelompok penagihnya selain kes penceraian yang tertangguh akibat PKP.

Bagi NGO Befrienders Kuala Lumpur, selain panggilan telefon mereka juga mengambil pendekatan menyediakan platform panggilan video menerusi Skype buat mereka yang ingin berkongsi sebarang masalah dihadapi.

Pengarah Publisitinya, Ardy Ayadali berkata, mereka juga ada menerima panggilan melibatkan kes penceraian.

"Namun majoriti panggilan yang kami terima adalah dari mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, diikuti dengan masalah perhubungan, dan seterusnya masalah keluarga. Panggilan yang melibatkan kes keganasan rumah tangga ini ada tetapi sedikit,” katanya.- Bernama

Senarai nombor boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan:

Talian Kasih: 15999

MyCareCov19: 03-887 0519 / 7752 / 7528

Befrienders KL: 03-7627 2929 / Skype: BefKL Skype 1

WAO: 03-79563488 / WhatsApp: 018-988 8058