IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah menjalankan proses nyahcemar ke atas hampir 6,000 lokasi seluruh negeri dalam usaha menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) sejak 27 Mac lalu.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, proses sanitasi awam dan disinfeksi itu dilakukan di kedai, bangunan kerajaan, klinik, masjid dan surau serta beberapa kawasan tumpuan yang lain.
Menurutnya, bagi lokasi tumpuan yang dikategorikan sebagai zon merah atau berisiko dalam penularan wabak, aktiviti nyah cemar dilakukan secara berulang dua hingga tiga kali.
"Proses sanitasi ini dilaksanakan berdasarkan kepada perbincangan pihak-pihak berkuasa tempatan supaya tidak ada lagi penyebaran virus-virus di tempat awam, sehingga semalam sebanyak 5,994 lokasi dinyahcemar.
"Ia suatu jumlah yang boleh dikira tinggi dan sehingga kini, proses sama masih dilaksanakan untuk pusingan seterusnya berdasarkan kepada permohonan terutama dari premis-premis kerajaan," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau berkata, bermula 30 April lalu, sebanyak 8,740 bagasi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat dalam penghantaran pulang telah melalui proses sanitasi.
Katanya, jumlah itu turut melibatkan 735 bas dan 31 van yang digunakan dalam proses penghantaran berkenaan.
"Kita sentiasa memberi penekanan kepada pegawai dan anggota terlibat agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan alhamdulillah sepanjang proses sanitasi ini berlangsung, tidak ada yang negatif berlaku kepada anggota kita.
"Setakat ini, kita juga tidak berdepan masalah kekurangan bahan kimia, penggunaan dettol kita masih ada stok dan ada pula syarikat yang sudi membekalkan sodium hipoklorit secara percuma menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk bantu kelancaran proses sanitasi dilakukan jabatan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Azmi berkata, bermula minggu lalu, JBPM Perak mempergiat aktiviti nyahcemar di pusat-pusat tahfiz dan pendidikan agama di seluruh negeri.
Pihaknya juga kini dalam tindakan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu industri pelancongan negeri terutama hotel dan rumah penginapan melaksanakan sanitasi sendiri di premis masing-masing.
"Konsepnya di samping jalankan sanitasi, kita berikan tunjuk ajar macam mana pemilik-pemilik hotel dan resort ini boleh lakukan sanitasi sendiri dengan kadar bahan campuran yang betul.
"Selepas semuanya berakhir (PKPB) nanti, kita yakin tidak akan ada lagi kebimbangan daripada pengunjung luar berkaitan pembersihan di lokasi penginapan percutian mereka," katanya.
Beliau berpuas hati dengan kejayaan operasi sanitasi yang dilakukan JBPM Perak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Kita akan meneruskan lagi operasi nyahkuman di negeri ini selagi diperlukan bagi memastikan virus Covid-19 dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya.