SUNGAI PETANI - Kedatangan Syawal memberi idea kepada seorang orang kurang upaya (OKU) untuk meraih pendapatan dengan menjual daun palas.
Muhammad Azamirudin Ismail, 26, dari Bandar Puteri Jaya berkata, idea itu tercetus apabila memikirkan kepayahan orang ramai mendapatkan daun palas bagi menghasilkan ketupat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, biarpun menggunakan kerusi roda sepenuh masa namun dengan bantuan rakan niaga serta sahabat yang sentiasa menyokong membuatkan dia makin bersemangat untuk meneruskan jualan daun palas.
"Permintaan juga tinggi menyebabkan stok perlu sentiasa ditambah dari masa ke masa, saya fikir ia langkah yang baik untuk menjana pendapatan ketika PKP," katanya.
Beliau yang merupakan Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti tidak boleh memandu namun menggunakan khidmat rakan yang diupah untuk mengambil stok atau menghantar daun palas kepada pelanggan.
"Sebelum ini, saya pernah jual ikan laga dan semasa awal PKP saya jual buah-buahan. Masa Ramadan jual kurma, kali ini jual daun palas pula sebab tahu ramai yang perlukannya.
"Selain jual kepada kawan-kawan terdekat di rumah, saya juga iklankan melalui media sosial.
"Pelanggan yang dekat saya akan hantar ke rumah tetapi jika jauh saya akan pos atau tumpang khidmat pemandu lain yang diupah," katanya.
Katanya, beliau memperoleh keuntungan kira-kira 30 hingga 40 sen bagi setiap satu kaki daun palas yang diambil di beberapa kawasan dalam dan luar daerah.