KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohamad dan personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara hari ini.
Mohd Ali, 56, dan Ras Adiba, 51, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran di bangunan Parlimen.
Mohd Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu akan memegang jawatan itu selama tempoh tiga tahun berkuat kuasa 11 Mei lalu bagi mewakili negeri Melaka.
Sementara itu, Ras Adiba yang juga Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral memegang jawatan bagi tempoh yang sama berkuat kuasa hari ini sebagai mewakili golongan OKU.
Pelantikan Mohd Ali diumum Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah mendapat undian majoriti 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada sidang Dewang Undangan Negeri (DUN) 11 Mei lalu.
Mohd Ali, yang juga Penasihat UMMAH Melaka ialah bekas guru serta ahli perniagaan dan lulusan Institut Bahasa Kuala Lumpur dalam bidang perguruan.
Ketika ditemui pemberita, Mohd Ali berkata, beliau akan membawa isu rakyat terutama kebajikan dan pendidikan masyarakat luar bandar sebagai wadah utama ke Dewan Negara.
"Dengan pengalaman sebagai guru selama 10 tahun dan ahli perniagaan, saya akan satukan dan bagaimana ia boleh membantu guru-guru dan masyarakat dalam perniagaan terutamanya," katanya.
Ras Adiba yang berasal dari Petaling Jaya pula ialah individu ketiga dilantik sebagai senator mewakili golongan OKU.
Mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan dan penyiaran selama lebih 34 tahun, beliau menyifatkan pelantikan itu satu penghormatan kepada industri media negara.
Bekas pembaca berita dan atlet paralimpik negara itu berkata, antara perkara yang akan diusulkan adalah mengenai pendidikan, pekerjaan dan infrastruktur golongan OKU di negara ini.
"Saya tidak sabar-sabar untuk turun padang dan berjuang bagi membantu pelaksanaan Akta OKU dan membantu isu-isu inklusiviti dan hak kepada OKU," katanya.
Sebagai bekas warga media, beliau juga mahu melihat lebih ramai OKU terlibat dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.
Pada majlis yang sama itu, Yang Dipertua Dewan Negara turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Dewan Negara baharu, Muhammad Sujairi Abdullah, 43, berkuat kuasa 22 Februari lalu. - Bernama