SINGAPURA - Sebuah keluarga di sini terkejut apabila menerima 70 kotak berisi kerepek selepas menempah 70 paket kerepek menerusi pembelian dalam talian.
@snabehh atau dikenali sebagai Shannen Alaina Coelho berkongsi kisah itu menerusi laman Twitternya.
Shannen berkata, keluarganya hanya 70 paket kerepek untuk dijadikan juadah pada hari raya namun tidak menyangka mereka akan menerimanya 70 kotak kerepek.
Dalam status bergambar itu, Shannen mengatakan bahawa dia sedang membantu keluarganya untuk menjual kerepek 'singkong balado' dan 'sambal balado' sempena hari raya.
Pada status sama, Shannnen memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan sekitar 70 kotak berisi kerepek memenuhi ruang tamunya.
Katanya, kesilapan teknikal dan salah faham antara punca berlakunya perkara tersebut.
"Bapa saudaranya terpaksa membayar tempahan bagi 70 kotak berkenaan. Setiap kotak itu mengandungi empat hingga lima paket kerepek.
"Bagi membantu keluarga menjual stok yang berlebihan, saya menguar-uarkan penjualan kerepek ini menerusi Twitter," katanya.
Difahamkan, kerepek itu dijual pada harga SGD7 (RM21) sepaket dan SGD25 (RM77)sekotak bagi kerepek sambal balado manakala kerepek singkong balado dijual pada harga SGD7 (RM21) sepaket dan SGD30 (RM92) sekotak.
Perkongsian tersebut tular dan menarik perhatian netizen yang turut membantunya membeli kerepek berkenaan.
Ada yang memberi cadangan kerepek itu sebagai gantian duit raya atau memberi lebihan kerepek kepada jiran tetangga sempena hari raya.
@la_parfumes berkata,"penuh ruang tamu, tukar duit raya dengan kerepek."
Manakala @fitriah pula bertanya,"Kerepek singkong, kawasan mana ni, Negeri Sembilan ada tak."
Sementara itu, bagi yang pernah merasai kerepek tersebut turut berkongsi keenakan makanan ringan itu.
Sehingga kini, status itu diulang kongsi 3,440 netizen dan mendapat 2,036 tanda suka.