Pas persoal kenapa fail saman ketika kempen PRK Cameron Highlands

Iklan
- Foto SHUKRI MOHAMAD

GOMBAK - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan mengapa Kerajaan Persekutuan memfailkan saman kepada kerajaan negeri Kelantan sewaktu kempen PRK Cameron Highlands sedang berjalan.

Menurutnya, kes tersebut sudah lama berlaku namun mengapa Peguam Negara, Tommy Thomas memilih masa sekarang untuk memfailkan tindakan sivil kepada Kelantan.

Iklan
Iklan

"Mengapa pilih masa PRK sedangkan isu ini sudah lama. Adakah dia nak kempen sama pilihan raya itu?,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Sejarah Pas di Taman Melewar, di sini, pagi tadi.

Ketika ditanya siapakah ‘dia’ yang Ahli Parlimen Marang itu maksudkan, Abdul Hadi menjelaskan ‘dia’ berkenaan merujuk kepada Kerajaan Persekutuan.

Iklan

"Tuju kepada kerajaan pusat. Kenapa dia pilih masa PRK ini? Atau dia baru terfikir masa PRK (untuk failkan saman), sebelum ini tak terfikir,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sepatutnya merujuk Penasihat Undang-undang Negeri sebelum membuat apa-apa keputusan.

Iklan

"Saya ingat ini kali pertama dalam sejarah, kerajaan pusat saman kerajaan negeri. Dalam kerajaan negeri, ada penasihat undang-undang.

"Sepatutnya apa perkara, rujuk kepada penasihat undang-undang, tak boleh terus saman kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, Kerajaan Persekutuan menyaman Kerajaan Negeri Kelantan bagi menuntut hak mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Menurut Tommy, pihaknya telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerusi injuksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.