Wanita kata 'you all are idiots' kepada polis didenda RM3,100

Iklan
Poh King diiring Suraj (kiri) selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini.

PETALING JAYA - Seorang pengurus jualan wanita yang sebelum ini tular di media sosial kerana memaki anggota polis dalam satu sekatan jalan raya Ops koronavirus (Covid-19) pada akhir Mac lalu, hari ini didenda RM3,100 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah mengenakan denda tersebut terhadap Tong Poh Kim, 44, selepas tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah berkelakuan kurang sopan dan menghalang tugas anggota polis, menukar pengakuannya ketika kes itu disebut hari ini.

Iklan
Iklan

Poh Kim didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal, Izuan Hasim Nor Hamzah dengan mengeluarkan kata-kata 'idiot' (bodoh) pada 9.40 pagi 31 Mac lepas di Jalan Persiaran Surian di sini mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum denda RM100.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Wanita kata 'you all are idiots' kepada polis ditahan

Dia juga mengaku menghalang Izuan Hasim menjalankan tugas dan fungsi jawatannya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Bagi kesalahan berkelakuan kurang sopan, Poh Kim didenda RM100 atau penjara sehari manakala bagi kesalahan menghalang tugas anggota polis, wanita itu didenda RM3,000 atau penjara sebulan.

Poh Kim membayar denda itu.

Iklan

Terdahulu, peguam, Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar hanya mengenakan hukuman denda terhadap anak guamnya atas alasan wanita itu mempunyai seorang ibu yang sedang koma akibat penyakit angin ahmar sejak 27 Februari lepas.

"Tertuduh benar-benar sudah insaf dan memohon maaf kepada semua pihak, termasuk polis. Dalam kes ini, tiada pergaduhan atau kekerasan jenayah kecuali perkataan ‘idiot’ yang dilontarkan tertuduh.

"Tertuduh bertindak sedemikian akibat tekanan emosi dan mental berikutan keadaan ibunya yang koma serta disebabkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya lebih dua jam,” katanya sambil menambah ini adalah kesalahan pertama Poh Kim.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya terhadap tertuduh memandangkan kesalahannya yang tidak menghormati pasukan keselamatan negara adalah serius.-Bernama