'Pemimpin Pas lemah, benarkan diri diperguna Umno'

Iklan
Menteri Wilayah Abdul Khalid Samad berucap pada majlis santai Parti Amanah Negara Sarawak bersama pengamal media hari ini. - Foto Bernama
KUCHING - Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menyifatkan barisan kepimpinan Pas kini semakin lemah sehingga membenarkan diri mereka dipergunakan oleh Umno, khususnya dalam soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Katanya rancangan Umno untuk mengadakan demonstrasi mengenai ICERD dan disokong oleh Pas itu hanyalah helah Umno untuk menyelamatkan pemimpin mereka yang kini seorang demi seorang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Saya pun hairan kenapa pemimpin Pas sanggup membenarkan diri mereka dipergunakan oleh pemimpin Umno,” katanya pada majlis santai Amanah Sarawak bersama media, di sini hari ini.

Khalid yang juga Menteri Wilayah berkata tindakan kedua-dua parti tersebut yang terus memainkan isu ICERD hanya bermatlamat politik.

Ini kerana katanya segala yang dicanang oleh Pas dan Umno termasuk negara ini akan hancur dan institusi raja bakal dihapuskan jika Malaysia meratifikasi ICERD adalah satu pembohongan kerana kerajaan persekutuan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD ]

Beliau turut mengulangi penegasan yang dibuat oleh beberapa menteri sebelum ini bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD dibuat sebulat suara dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat. - Bernama