PUTRAJAYA - Isi rumah kumpulan B40 dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang masih belum menerima set dekoder myFreeview percuma diminta membuat permohonan mulai sekarang sehingga 31 Mei ini, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM berkata, mereka yang berminat boleh mengisi borang di laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 dengan butiran diri yang lengkap iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat penuh serta nombor telefon.
Pemohon juga boleh menghubungi MYTV Careline di talian 1800-18-1088/1-300-80-6988 untuk memudahkan proses pengagihan set dekoder percuma myFreeview kepada mereka yang layak.
"Semakan kelayakan juga boleh dibuat melalui dua saluran yang dinyatakan di atas dan sebarang pendaftaran selepas tarikh akhir iaitu 31 Mei 2020 tidak akan diproses," katanya dalam kenyataan hari ini.
SKMM berkata inisiatif pemberian dekoder tambahan myFreeview secara percuma itu adalah untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mengakses informasi dan hiburan secara mudah, percuma dan berkualiti melalui penyiaran TV digital.
"Kerajaan melalui SKMM memperuntukkan sebanyak 300,000 unit dekoder tambahan kepada isi rumah B40 dan OKU di seluruh negara,” katanya.
SKMM berkata, ia adalah tambahan kepada dua juta unit dekoder percuma yang diperuntukkan syarikat MYTV sebelum ini dan kos perolehan tambahan tersebut ditanggung sepenuhnya kerajaan.
Selepas tarikh tutup 31 Mei, SKMM berkata, kelayakan permohonan isi rumah B40 dan OKU akan disemak dan penghantaran dekoder melalui perkhidmatan kurier akan dilaksanakan ke seluruh negara secara berperingkat mulai Jun ini.
"Kaedah penyerahan secara berkelompok hanya akan dipertimbangkan selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan," katanya.
MyFreeview ialah jenama platform TV digital tanpa bayaran bulanan, yang menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan enam saluran radio. - Bernama