SHAH ALAM - Penularan sebuah video tarian di atas pentas yang melibatkan menteri, hakim dan peguam kontroversi dalam satu majlis makan malam mencetuskan kebimbangan tentang ketelusan badan kehakiman negara.
Menurut seorang warganet, Abdul Rahim Hilmi Zakariya, tindakan pegwai kanan pejabat peguam negara dan kehakiman menyertai majlis sosial tersebut dilihat telah melanggar doktrin pengasingan kuasa antara badan kehakiman dan perundangan.
"Anda lihat, saya tidak mahu komen tarian itu cantik atau tidak. Saya juga tidak mahu komen bolehkah seorang menteri dan peguam dan aktivis kontroversi menari bersama atau tidak, tetapi saya tidak senang apabila pegwai kanan pejabat peguam negara dan kehakiman terutamanya boleh bersosial sebegitu dengan ahli politik dan individu yang banyak kontroversi.
"Tuan-tuan, kehidupan sebagai hakim ini ada adab susilanya, ada kehormatannya, ada kerahsiaannya, ada privasinya dan tidak boleh menonjol sosialnya. Apatah lagi dengan individu dan ahli politik yang kedudukan dan parti mereka mempunyai kepentingan dalam kes undang-undang.
"Apa-apa keputusan penghakiman akan datang, sekiranya memihak kepada parti ahli politik ini atau individu terlibat, boleh dilihat sebagai tidak adil dan memihak,” katanya.
Semalam muncul sebuah klip video yang menunjukkan menteri itu, pegwai kanan pejabat peguam negara dan kehakiman serta peguam kontroversi menari mengikut rentak lagu pada Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.
Dalam pada itu, Abdul Rahim yang berasal dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu berkata, para hakim sejak dari dahulu memilih kehidupan yang tersendiri dan penuh privasi demi menjaga integriti dan kesucian institusi kehakiman.
"Sehingga makan tengah hari di pejabat pun tidak berteman. Ayahanda saya yang pernah mengemudi pentadbiran mahkamah-mahkamah di Terengganu dekad 90-an dahulu selalu bercerita bagaimana rakan-rakannya yang menjadi hakim mengelak untuk minum bersama di ruang awam atau bertegur sapa berlebihan apabila terserempak di jalanan,” katanya.
Beliau turut memetik kata-kata mendalam bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa berkenaan kehidupan sebenar dan sewajarnya bagi seorang hakim.
"Para hakim tidak sepatutnya dikenali. Keadilan adalah buta."