PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju membenarkan pemegang Pas Malaysia My Second Home (MM2H) yang terkandas di luar negara untuk memasuki negara ini mulai 17 Mei ini.
Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Jabatan Imigresen menetapkan beberapa prosedur bagi memastikan kemasukan mereka berjalan lancar dan teratur.
Iklan
Iklan
"Selain itu kita akan memastikan peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PemegangPas MM2H perlu mematuhi syarat iaitu kebenaran masuk hanya diberikan kepada mereka yang dikenal pasti dan disenaraikan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sahaja.
"Selain itu, kebenaran masuk tertakluk kepada pemeriksaan dan pematuhan terhadap syarat-syarat kemasukan ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Mereka juga perlu melaksanakan swab test di negara mereka berada dan keputusan ujian tersebut hendaklah negatif serta mengemukakan perakuan untuk menanggung sendiri kos kuarantin di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan," katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk melayari portal rasmi www.imi.gov.my dan Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menghubungi talian Hotline 03-88882010 untuk sebarang pertanyaan. - Bernama