MELAKA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka menafikan kejadian seekor harimau mati dilanggar kenderaan yang didakwa berlaku di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Umbai.
Perkara tersebut mula tular di laman sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam dengan mendakwa ia berlaku kira-kira jam 9 malam tadi dan meminta orang ramai khususnya penduduk di Umbai supaya berhati-hati.
Pengarah Perhilitan Melaka, Noor Zakiah Hanum berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai perkara itu dan kesal dengan sikap individu yang tidak bertanggungjawab sengaja menyebarkan perkara tersebut sehingga boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya.
"Ini adalah maklumat palsu, gambar yang dipaparkan sebenarnya berlaku di Kilometer 321.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hampir tiga tahun lalu dan pernah mendapat liputan media.
"Kita kesal dengan penyebaran maklumat palsu seperti ini, meskipun jabatan tiada sebarang peruntukan akta untuk mendakwa individu terbabit namun ada akta yang boleh mengekang dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu ini kerana dianggap boleh menggugat keamanan misalnya di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran berita palsu seumpama itu dan dapat merujuk kepada Jabatan Perhilitan negeri terlebih dahulu sebelum sesuatu maklumat disebarkan.
Jelas Zakiah lagi, tahun lalu pihaknya pernah membuat penafian tentang penyebaran maklumat kemunculan seekor harimau belang yang didakwa berlaku di salah satu kawasan di Daerah Jasin, Melaka namun sebenarnya ia berlaku di sebuah kawasan di negara jiran, Indonesia.