Jelapang, Manjoi dilanda hujan batu

Iklan
Orang ramai teruja berkongsi pengalaman dan gambar hujan batu berupa ketulan ais.

IPOH -"Saya terkejut dengar bunyi berdentam-dentum dari atap rumah, ingatkan ada pokok tumbang, bila lari keluar rumah rupa-rupanya hujan batu," kata Mardiati Rahim,45, ketika menceritakan kejadian hujan batu yang melanda beberapa kawasan di sekitar Manjoi dan Jelapang petang tadi.

Mardiati dari Puncak Jelapang berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 15 minit bermula jam 5.15 petang selepas angin kencang dan disusuli hujan lebat.

Iklan
Iklan

Katanya, dia yang ketika itu berada di dapur untuk menyediakan juadah berbuka secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seakan benda keras jatuh.

"Seumur hidup saya, ini kali pertama dapat lihat sendiri kejadian hujan batu yang seakan ketulan ais sebesar ibu jari, rasa takut tadi dah bertukar jadi teruja pula," katanya.

Iklan

Fenomena alam yang jarang berlaku itu turut menarik perhatian orang ramai apabila ada yang mengutip ketulan ais berkenaan dan berkongsi gambar di media sosial.

Hujan batu muncul selepas angin kencang sebelum disusuli hujan lebat.

Azman Ramli, 51, dari Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika kebanyakan penduduk berada di rumah masing-masing.

Iklan

Dia yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika itu sedang bersiap siaga sekiranya menerima laporan pokok tumbang.

"Hujan lebat dan angin pun kuat sampaikan ada pokok tumbang, saya kebetulan ada di luar rumah terkejut bila nampak ketulan ais jatuh dan melantun di jalan.

"Sempatlah saya kutip untuk melihatnya lebih dekat," katanya.