BUKIT MERTAJAM - Lari sembunyi di dalam tandas bagi mengelak diperiksa penguatkuasa.
Itu yang dilakukan oleh dua wanita Indonesia apabila menyedari kehadiran anggota penguatkuasa yang membuat pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Perusahaan Autocity di Juru malam tadi.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, operasi yang bermula jam 8 malam itu dilakukan bersama anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai mengenai warga asing yang berkunjung dan bekerja di pusat hiburan terbabit.
Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 18 warga asing diperiksa dan enam daripadanya ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
"Kita terpaksa mengetuk pintu tandas dan menunggu lama sementara menunggu kedua wanita itu membuka pintu. Kita percaya mereka cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa namun gagal bertindak demikian.
"Selain dua wanita terbabit yang bersembunyi di dalam tandas, kita juga berjaya memberkas dua lagi rakan mereka kerana dipercayai berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.
Izham berkata, turut ditahan dua lagi lelaki warga Nepal yang bekerja sebagai 'bar tender' di pusat hiburan terbabit.
Terdahulu dalam operasi berasingan yang dilakukan malam semalam, Jabatan Imigresen Pulau Pinang memeriksa 10 premis di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah yang menjadi tumpuan warga asing bekerja seperti kedai runcit, restoran masakan Siam serta pusat hiburan.
Dalam Ops Ikrar itu, pihaknya menahan seramai 26 warga asing termasuk dua orang kanak-kanak yang terdiri daripada warganegara Thailand, Myanmar, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
Antara kesalahan yang dikenalpasti seperti tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua mereka yang ditahan berusia di antara lima hingga 40 tahun dan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru," katanya.