MARANG - Kerajaan PH disarankan agar menyelaraskan Jumaat sebagai cuti mingguan sebagai satu langkah bijak bagi menangani keresahan dihadapi majikan dan kepada pekerja yang beragama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, keresahan timbul apabila majikan merasa rugi jika waktu rehat diberikan lebih lama berbanding hari biasa.
Menurutnya, kemungkinan juga dengan waktu rehat yang panjang, akan menjadi lebih teruk lagi apabila berlakunya kesesakan jalan raya sekaligus melambatkan pekerja terbabit kembali semula ke pejabat.
"Bagi pihak pekerja pula, mereka merasa tertekan kerana terpaksa pulang tergesa-gesa ke tempat kerja disebabkan masa yang singkat selain tidak mahu ada konflik dengan majikan.
"Dilema ini boleh diatasi dengan keadaan menang-menang iaitu menyelaraskan cuti mingguan kepada Jumaat dan Sabtu, kerana Ahad, tiada kewajipan solat seperti Jumaat," katanya, hari ini.
Adun Bukit Payong itu menyokong Pas Kelantan melalui Ketua Penerangannya, Datuk Nassuruddin Daud yang mencadangkan cuti mingguan diselaraskan pada hari Jumaat di Kota Bharu, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan negeri lain untuk mengikuti langkah Kelantan dan Terengganu yang menjadikan hari Sabtu pula sebagai hari bersama keluarga.
Beliau juga yakin hal itu tidak akan menjadi polemik keagamaan kerana Malaysia mempunyai hampir 70 peratus penduduk Islam dan munasabah dilaksanakan kerana Islam adalah agama rasmi negara.
"Selain Kelantan dan Terengganu, Kedah dan Johor juga telah menetapkan cuti rasmi mingguan negeri pada Jumaat dan saya percaya ia boleh dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain," katanya.