Kerajaan tidak lambat bertindak pantau harga barang

Iklan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) memeriksa senarai barangan harga terkawal ketika membuat lawatan sempena skim harga maksimum musim perayaan Hari Raya Puasa, Pesta Keaamatan dan Hari Gawai 2020 di Econsave Kajang hari ini. -Foto Bernama

KAJANG - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi menyangkal dakwaan bahawa pihaknya lambat bertindak dalam mengawal harga barangan keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.

Sebaliknya, Kementerian sentiasa sensitif terhadap keluhan pengguna dan telah mula bertindak mengawal harga barangan semenjak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Iklan
Iklan

Malah, beliau sering berhubung dan bekerjasama dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bagi membincangkan mengenai perkara itu.

"Sebenarnya kita tidak lambat, kami sentiasa prihatin, sudah berminggu kami memantau. Malah dalam PKP kita dapati harga barang memang rendah.

Iklan

"Pada minggu pertama PKP kami juga ada buat perbincangan dengan semua pemain industri, pengilang, pemborong dan pasar raya (bagi bincang harga barang),” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, Nanta berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas semua pasar utama dan pasar raya di seluruh negara hari ini.

Iklan

Maklumat balas hasil pemeriksaan mendapati rata-rata peniaga patuh dengan harga maksimum terutamanya bagi harga runcit ayam standard yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Semua pasar basah dilaporkan menjual ayam standard pada harga maksimum runcit iaitu RM7.50 sekilogram.

"Pemantauan di peringkat pasar raya mendapati ayam dijual pada harga antara RM7 hingga RM7.40 sekilogram iaitu lebih rendah daripada harga maksimum,” katanya merujuk kepada keluhan ramai sebelum ini akan kenaikan mendadak harga ayam. - Bernama