MOSCOW - Korea Utara menangguhkan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga keputusan Pilihan Raya Presiden AS pada November depan diumumkan.
Perkara itu didedahkan Duta Rusia ke Pyongyang hari ini selepas Presiden Donald Trump telah bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebanyak tiga kali, namun masih gagal mencapai sebarang perjanjian komprehensif.
Iklan
Iklan
"Pyongyang anggap belum masanya untuk menyambung dialog dengan Washington. Tunggu dan lihat apa yang berlaku seterusnya," lapor agensi berita Interfax memetik kenyataan Alexander Matsegora.
Sebelum ini, Korea Utara telah melancarkan siri roket ketika menuntut konsesi daripada pentadbiran Trump yang berkeras menyatakan sekatan antarabangsa tidak akan ditarik balik sehingga rejim Pyongyang mengambil langkah nyahnuklear sepenuhnya.
Matsegora berkata, beliau berharap rundingan tersebut akan disambung semula kerana penangguhan tersebut hanya akan meningkatkan ketegangan di wilayah bersebelahan sempadan Timur Jauh.
Beliau turut mengkritik sekatan AS ke atas Korea Utara yang didakwa menyekat bekalan dan peralatan perubatan penting ke Pyongyang.
Mac lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menggesa sekatan ditarik balik ketika pandemik koronavirus (Covid-19) dan memaklumkan kepada pemimpin G20 ia adalah isu hidup dan mati walaupun Korea Utara tidak merekodkan sebarang jangkitan wabak itu. - AFP