KALAU awal Ramadan lalu, Merak Jalanan sering memilih menu berbuka puasa juadah yang ringkas dan ala kadar sahaja. Namun sejak akhir-akhir ini, selera Merak Jalanan lebih gemar memilih makanan ala Syawal pula.
Bukan apa, pelbagai menu menarik dan pakej juadah Aidilfitri asyik berlalu di timeline Instagram Merak Jalanan. Ada rendang, ada nasi hujan panas, ada pulut dakap, ada ketupat palas dan pelbagai serunding.
Awal-awal lagi Merak Jalanan sudah mencuba menu-menu tersebut. Risau juga Merak Jalanan kalau berat badan bertambah. Sepatutnya bulan Ramadanlah masa terbaik untuk menurunkan berat badan.
Sebenarnya Merak Jalanan tidak masak sendiri pun aneka juadah tersebut, semuanya tempah secara online dan ada juga yang ditempah daripada rakan-rakan ataupun jiran yang membuat bisnes sampingan pada musim Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) ini.
Merak Jalanan sedang memilih tukang masak yang mana boleh menghasilkan makanan yang enak pada harga berpatutan sebab nanti 1 Syawal bolehlah Merak Jalanan sediakan juadah raya yang pastinya sedap.
Sekarang ini berlumba-lumba penyedia makanan mempromosi juadah Aidilfitri. Pelbagai pakej ditawarkan. Kita yang hendak menempah pula rasa keliru dan rambang mata.
Kalau tahun lalu, di timeline Instagram Merak Jalanan penuh dengan promosi baju raya dan balang raya, kini rendang raya pula yang mendominasi!
Walau apa pun, diharap penyedia makanan mengamalkan kebersihan yang optimum dan ikhlas dalam berniaga. Biarlah mahal sedikit harga juadah anda, tetapi percayalah pelanggan akan terus melanggan jika kualiti terjaga.
Gunakan bekas makanan yang bersih dan tidak mudah rosak. Jangan kedekut melebihkan sedikit makanan.
Jangan hanya mengejar untung, tetapi kejar juga keberkatan dalam mencari rezeki yang halal.