RAWANG - Seorang gadis yang bertugas di stesen minyak tidak menyangka akan bertemu idolanya setelah kisahnya membantu mangsa kemalangan di tempat kerja tular di laman sosial hingga berjaya menambat hati Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husian.
Nur Yasmin Khan Yazid, 22, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Shairan juga dikenali Pakcik Shell kerana sudi turun padang bertanya khabar.
"Saya tak sangka dan masih terkejut apabila dapat bertemu beliau yang juga idola saya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Rezeki hari ini dapat bantu abang Pos Malaysia'"Walaupun tahu beliau sangat sibuk dengan pelbagai urusan namun tetap meluangkan masa bertemu pekerjanya," katanya kepada Sinar Harian.
Kata Nur Yasmin, pertemuan istimewa itu menyuntik semangatnya untuk terus tekun bekerja.
"Beliau juga memberi nasihat agar terus berbakti kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan selain menghadiahkan sijil penghargaan kepada saya," katanya.
Terdahulu, dalam kejadian Jumaat lalu, Nur Yasmin nekad membantu mangsa kemalangan dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman berkaitan kecemasan.
Bertugas sejak tujuh bulan lalu di sebuah stesen minyak di Rawang, katanya, lokasi tempat kerjanya berhampiran jalan utama itu sering kali berlaku kemalangan jalan raya.