Aksi liar mat rempit akhirnya tersungkur

Iklan

KUALA LUMPUR - Aksi liar sekumpulan remaja mengundang padah selepas 'terjerat' dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di ibu negara, malam tadi.

Operasi bermula jam 11 malam yang diketuai Pegawai Turus Penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafiee Ishak ini dijalankan hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tiga lokasi menjadi sasaran iaitu Jalan Genting-Klang, Lebuhraya Duke dan Dataran Merdeka.

Menurutnya, seramai 10 orang penunggang motosikal membabitkan golongan remaja berusia 14 hingga 19 tahun berjaya dicekup.

Iklan

"Mereka ini ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan aksi superman, zig zag, willie serta menunggang dengan laju.

"Malah terdapat seorang daripada remaja terbabit yang cuba melarikan diri dari sekatan, namun tindakan itu mengundang padah dirinya selepas motosikal ditungangnya secara melawan arus itu melanggar sebuah kereta. Malah pemeriksaan juga mengesahkan motosikalnya merupakan motosikal curi," katanya.

Iklan

Zulkefly berkata, pelbagai kesalahan lain dikesan membabitkan penunggang motosikal ini iaitu tidak memiliki lesen memandu, mengubahsuai enjin dan ekzos motosikal, menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain menunggang dalam keadaan mabuk.

Selain itu, sebanyak 217 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi berasingan, JSPT Kuala Lumpur turut melaksanakan Ops Mabuk di empat lokasi berasingan di ibu negara dan telah menahan seramai sembilan pemandu kereta kerana memandu dalam keadaan mabuk.

"Operasi ini bermula jam 1 pagi sehingga jam 4 pagi di Kilometer 7.6 Lebuhraya Sprint, Jalan Puchong, Kuchai Lama dan Jalan Sri Petaling," katanya.