IPOH - Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan Perak mencontohi pentadbiran Pulau Pinang dan Sabah dalam usaha memulihkan sektor ekonomi negeri yang kian terhimpit akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pulau Pinang telah memberi pengurangan cukai pintu sebanyak RM50 juta kepada warga negeri itu sementara Sabah memberi diskaun cukai tanah sehingga 30 peratus.
"Saya telah meneliti Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa Kedua (PRE 2) yang diumumkan Menteri Besar Perak semalam, saya berasa kecewa kerana ia terlalu sedikit dan terlalu lambat setelah lebih dua bulan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Semasa pentadbiran PH selama 22 bulan, Perak berjaya mencatat keuntungan RM102.3 juta serta menyimpan rizab negeri hampir RM900 juta.
"Oleh itu, saya yakin kerajaan negeri harus memberi diskaun cukai pintu 20 peratus dan diskaun cukai tanah sebanyak 30 peratus kepada warga negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pakej negeri Perak yang hanya memberi potongan atas 'denda lewat bayar' adalah jelas, gagal memahami kegawatan ekonomi yang sedang melanda negeri ini.
"Pakej rangsangan kononnya bernilai RM71.17 juta ini sebenarnya bukan merupakan suntikan fiskal secara langsung untuk memulihkan ekonomi negeri, sebaliknya berbentuk cebisan dan tiada impak positif yang ketara," katanya.
Beliau berkata, ia tidak akan mampu memulihkan ekonomi terutama industri pelancongan dan perhotelan yang sedang menghadapi krisis kewangan dan masalah pengangguran besar.
Katanya, seperti pengumuman untuk membina ban pecah di Kerian dan 'Outdoor Amphitheater' di Taman DR Seenivasagam di Ipoh sebenarnya langsung tidak mampu untuk memulihkan industri pelancongan, sedangkan ketika ini banyak hotel-hotel di Perak telah mengisytiharkan penutupan operasi.
"Kempen 'Green planet' dalam pakej itu memperuntukkan RM790,000 dan 1,500 keluarga terpilih hanya menerima RM526. Apakah tanaman yang boleh diusahakan dengan jumlah peruntukan yang begitu kecil?.
"Saya berasa kecewa, industri pembuatan dan perkilangan telah diabaikan oleh pakej tersebut walaupun ia merupakan mangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
"Tiada suntikan modal mahupun rebat cukai diberikan kepada sektor-sektor penting ini," katanya.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengummkan PRE 2 untuk membantu rakyat pasca PKP dengan peruntukkan RM71,171,820 juta membabitkan sektor seperti perniagaan, pertanian dan pelancongan.
Pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan pakej rangsangan ekonomi negeri itu melebihi RM100 juta.