Ahli Parlimen Bersatu sokong pembangkang boleh gugur keahlian

Iklan
Wan Saiful Wan Jan

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seharusnya menyemak semula status keahlian Ahli Parlimen parti itu yang cenderung menyokong atau menyertai pembangkang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, berdasarkan perlembagaan Bersatu, ahli yang menyertai kelompok pembangkang boleh menyebabkan keahlian seseorang itu gugur dengan sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau membangkitkan perkara ini susulan kesal dengan tindakan segelintir Ahli Parlimen Bersatu yang memilih untuk duduk bersama barisan parti pembangkang dalam pembukaan sidang Parlimen, Isnin lalu.

"Setiap parti ada disiplinnya. Semua ahli perlu hormati disiplin parti. Sebenarnya parti tidak lagi perlu kenakan tindakan disiplin, sebab keahlian gugur dengan sendiri. Suburkan semangat ‘rule of law’ yang kita pegang, parti perlu segera semak status keahlian semua tanpa rasa takut,”katanya.

Iklan

Wan Saiful berkata, jangan biarkan wujud kasta ‘dewa’ yang membolehkan individu tertentu menolak disiplin parti secara terang-terangan kerana ia kelak menjadi barah yang merosakkan parti.

"Jangan sombong, beranggapan lebih tinggi dari yang lain sehingga duduk dengan blok parti sendiri pun tidak sudi. Parti akan rosak jika pemimpin hanya pentingkan pandangan sendiri tanpa pedulikan kesan tindakan mereka ke atas persepsi rakyat terhadap parti,” katanya.

Iklan

Pada pembukaan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin lalu, lima Ahli Parlimen Bersatu diketuai Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk berada di blok pembangkang.

Empat lagi Ahli Parlimen yang bersama Dr Mahathir adalah, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden Bersatu; Ahli Parlimen Muar yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.