PUTRAJAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengagihkan sayur, buah-buahan dan produk asas tani kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara.
Antaranya ialah rumah kebajikan dan warga emas, persatuan, pelajar universiti, penduduk kampung serta petugas barisan hadapan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, agihan dilakukan melalui 43 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
Menurutnya, CSR itu turut membuka peluang pasaran kepada petani untuk menjual hasil pertanian mereka.
"Bagi memperluaskan lagi program CSR ini, FAMA bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan membekalkan lima tan sayur dan buah-buahan kepada 10 Central Kitchen seliaan agensi itu untuk 1,375 penerima.
"Antara lokasi terbabit ialah Asrama Sentosa, Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (Kanak-kanak) dan Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Junaidah Kamarruddin di Wisma Tani di Lobi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di sini.
Beliau berkata, FAMA turut menyalurkan sumbangan produk makanan kering Industri kecil dan Sederhana (IKS) tempatan kepada 150 warga Malaysia yang terkandas di Singapura susulan pelaksanaan PKP.
Dalam pada itu menurutnya, sehingga 18 Mei lalu, sebanyak 53 Pasar Segar Terkawal (PST) Fama beroperasi di seluruh negara.
"Nilai jualan bagi tempoh 1 April hingga 18 Mei adalah sebanyak RM65.49 juta melibatkan 530 usahawan, 785,000 pengunjung dan 77,450 penghantaran.
"Selain itu, Agrobazaar Online FAMA mencatatkan jualan terkumpul RM1.51 juta termasuk RM920,000 jualan sayur dan buahan-buahan segar serta selebihnya produk asas tani membabitkan 30,615 penghantaran,” katanya.