KOTA BHARU - Anak sulung kepada wanita mengandung yang positif koronavirus (Covid-19) di negeri ini didapati negatif virus itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kanak-kanak berusia 4 tahun itu termasuk 20 kontak rapat yang juga negatif Covid-19.
Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa mendapat virus berkenaan daripada suami kerana mangsa adalah suri rumah.
"Setakat ini alhamdulillah hanya wanita itu didapati positif Covid-19 manakala 20 kontak termasuk anak mangsa negatif.
"10 lagi kontak dengan pesakit berkenaan akan menjalani ujian saringan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan (JKKN) Khas di Kota Darul Naim di sini hari ini.
Dr Zaini berkata, ujian saringan juga akan dilakukan terhadap bayi dalam kandungan selepas wanita itu bersalin dan tidak memerlukan pembedahan.
"Kami akan memberikan perkhidmatan terbaik di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika wanita itu melahirkan bayinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis akan menjalankan pengawasan dan pemeriksaan terhadap kesemua rumah kontak rapat berkenaan sepanjang Aidilfitri.
"Kesemua kontak didapati negatif tetapi perlu berada di rumah dan tidak boleh menerima tetamu ketika sambutan hari raya. Pemantauan akan dijalankan mungkin setiap dua jam sekali,” katanya.
Beliau turut menjangkakan kesesakan teruk di lalu lintas di sempadan negeri susulan ujian saringan Covid-19 yang dikuatkuasakan.
"Saya nasihatkan semua pengguna jalan raya bersabar kerana saringan perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berlaku membabitkan mereka yang merentas negeri dan masuk ke Kelantan terutama dari zon merah,” katanya.