PUTRAJAYA - Pelaksanaan pemasaran dalam talian (e-dagang) dapat memastikan permintaan terhadap produk dan hasil pertanian berterusan serta boleh dipasarkan terus kepada pengguna.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha itu juga sebagai alternatif kepada kaedah konvensional (jualan di outlet atau kedai) menggunakan platform 'business to consumer (B2C)'.
"Kementerian memperluas dan memperkasa pemasaran hasilan pertanian melalui platform e-dagang untuk mempertingkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan hasilan pertanian bagi pasaran domestik seterusnya ke pasaran antarabangsa. Ia selaras dengan Perutusan Khas Perdana Menteri berhubung dengan penerimaan norma baharu oleh seluruh rakyat Malaysia dan proses pendigital masyarakat oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau telah melakukan lawatan ke pusat operasi kerjasama dengan Shopee Malaysia yang telah mendigitalkan rantaian pemasaran hasil pertanian dan perikanan.
"Kerjasama eksklusif dengan Shopee melalui FAMA, Nekmat dan LKIM telah membawa produk segar secara dalam talian AgroBazaar Online dan Nekmatbiz dalam platform berkenaan.
"Sejak kerjasama ini dilaksanakan pada bulan lepas telah merekodkan sebanyak2,000 tempahan di Lembah Klang sahaja dam memberi manfaat kepada petani, usahawan FAMA dan nelayan," katanya.
Beliau berkata, selain menggunakan platform B2C, kementerian juga sedang giat melaksanakan inisiatif jualan e-dagang menggunakan platform business to business (B2B) yang mana telah dimulakan dengan beberapa syarikat yang berpengalaman dalam mengendalikan perniagaan e-dagang yang dapat membantu memasarkan hasil pertanian kumpulan sasar secara pukal terus kepada pengedar mahupun pemborong.
"Kerjasama ini dijangka mewujudkan ekosistem baharu dalam pasaran pertanian di Malaysia yang boleh menjangkau cara kerja konvensional dan mampu meningkatkan pasaran dalam rantaian e-dagang secara keseluruhan.
"Adaptasi kelebihan sistem e-dagang ini boleh memberi informasi terus kepada pembeli membuat pilihan yang bijak dalam mendapatkan hasil segar dari ladang. Sehubungan itu, ia turut membuka pasaran dan peluang baharu kepada petani dalam menjual hasil pertanian secara atas talian kepada pembeli, pengedar, pasar segar dan kedai makan, secara amnya. Petani juga boleh memilih untuk mendapatkan harga yang lebih baik dari pelbagai pilihan pengguna yang ada," katanya.
Jelasnya, kementerian turut membantu dalam pemasaran,pembangunan teknikal dan pendidikan e-dagang kepada kumpulan sasar yang berdaftar dengan program ini menyedari cabaran bahawa bukan mudah bagi para petani dan nelayan untuk membiasakan diri dengan ilmu teknologi e-dagang.
"Justeru, kementerian melalui agensi-agensi tertentu akan terus membantu lebih ramai petani dan nelayan mempelajari kaedah penjualan secara dalam talian. Kerjasama strategik B2B dengan beberapa syarikat e-dagang juga akan dilancarkan dalam masa terdekat.
"Inisiatif kementerian bertepatan bagi menjamin tahap sekuriti makanan sentiasa berada dalam keadaan stabil dari aspek ketersediaan mudah diakses, selamat, berkualiti dan berkhasiat" katanya.