KOTA KINABALU - Sabah tidak menghadapi sebarang masalah kekurangan bekalan ayam untuk musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung.
Poon berkata, bekalan ayam di negeri ini mencukupi, namun, para peniaga diingatkan untuk mematuhi harga ditetapkan memandangkan ia adalah antara barangan tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
"Bekalan ayam di Sabah mencukupi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah akan sentiasa memantau semua pasar raya bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan dijual pada harga ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan dan melancarkan SHMMP Hari Raya dan Pesta Kaamatan 2020 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
SHMMP Hari Raya telah bermula semalam hingga 3 Jun ini dengan sebanyak 10 jenis barangan dikawal harga seperti ayam, daging lembu dan telur, manakala SHMMP Pesta Kaamatan bermula 28 Mei ini hingga 3 Jun dengan terdapat 11 jenis barang dikawal di bawah skim itu.
Poon berkata tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 jika terdapat mana-mana peniaga di negeri ini didapati gagal mematuhi peraturan skim berkenaan dengan melakukan kesalahan seperti menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum serta tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.
Beliau turut mengingatkan para pengguna supaya tidak membuat pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan.
Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barangan kawalan, namun, para peniaga diingatkan untuk terus beretika dalam menguruskan perniagaan sepanjang tempoh ini.
Dalam pada itu, KPDNHEP Sabah merekodkan sebanyak 56 kes pelanggaran SHMMP bagi perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas pada tahun lepas melibatkan rampasan sebanyak RM4,434.90 dan kompaun RM7,800, katanya.-Bernama