Pavithra pilih kuah kacang, rendang untuk raya

Iklan
S Pavithra dan suami, M Sugu ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai siput.

SUNGAI SIPUT -"Saya dah belajar resipi kuah kacang dan rendang, saya akan kongsi videonya nanti, khas untuk hari raya ini," kata S Pavithra, 28.

Pavithra dan suami, M Sugu, 29, mula dikenali selepas video masakan yang dikongsi menerusi saluran YouTube mereka mendapat perhatian dan pujian ramai pihak.

Iklan
Iklan

Ketika ditemui di kediamannya di Ladang Elphil di sini, Pavithra berkata, ini kali pertama beliau mencuba masakan kuah kacang dan rendang yang menjadi menu wajib bagi masyarakat Melayu di Malaysia setiap kali tibanya Aidilfitri.

Kegigihan dan keikhlasan ibu kepada dua cahaya mata itu untuk menyediakan hidangan tersebut dibuktikan apabila sanggup 'berguru' dengan seorang rakan Melayunya.

Iklan

"Saya sangat berbesar hati untuk memasak hidangan ini, jadi saya minta resipi dan cara memasaknya dari rakan Melayu saya.

"Melihat kepada bahan-bahan dan cara memasaknya, rasa macam boleh buat, harap-harap menjadilah masakan saya itu nanti," katanya sambil ketawa.

Iklan

Video masakan berkenaan akan dimuat naik ke laman YouTube mereka 'Sugu Pavithra' pada Sabtu ini untuk kuah kacang dan rendang pada hari raya kedua nanti.

Pavithra mengakui menerima banyak permintaan daripada rakan dan pengikutnya di YouTube untuk menyediakan masakan-masakan tertentu.

S Pavithra menunjukkan ucapan tahniah yang diterima daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun katanya, tidak semua permintaan itu dapat dipenuhi disebabkan kekangan masa, tambahan pula kini jadual hariannya padat dengan sesi temu ramah.

"Kuah kacang dan rendang ini adalah salah satu daripadanya, kebetulan nak dekat raya, jadi sesuai sangatlah saya kongsi masakan ini sekarang.

"Saya akan cuba penuhi permintaan rakan-rakan yang lain nanti," katanya.

Wanita yang petah berbahasa Melayu itu berkata, beliau bukanlah seorang yang pakar dalam masakan dan masih perlu banyak belajar terutama masakan tradisi kaum lain.

"Orang di luar cakap saya pandai masak, hakikatnya saya mula memasak pun selepas kahwin, ibu mentua yang banyak beri tunjuk ajar dan suami pula jadi pengkritik utama masakan.

"Apa pun saya sangat hargai pujian dan sokongan semua pihak, ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar dan kongsi lebih banyak menu di YouTube," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih PM, ucap Sugu Pavithra

'Sugu Pavithra' dapat gaji sulung sebagai YouTuber

Pavithra dan suami mula berjinak-jinak sebagai YouTuber sejak Januari lalu selepas mendapat saranan daripada rakan baik yang juga seorang YouTuber untuk menghasilkan serta memuat naik video masakan di laman berkenaan.

Pasangan ini kemudiannya menerima e-mel daripada YouTube untuk menjadi Rakan YouTube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).

Dengan 73 video masakan yang telah dikongsi setakat hari ini, pelanggan saluran mereka sudah mencecah lebih setengah juta daripada pelbagai kaum.

Lebih membanggakan, keluarga ini turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa hadiah termasuk tripod untuk galakan mereka terus berkongsi video memasak.