3,617 individu di Kuala Lumpur terima elaun pekerja cacat

Iklan
Fatimah Zuraidah Salleh

KUALA LUMPUR - Seramai 3,617 individu menerima elaun pekerja cacat (EPC) berjumlah RM400 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) sebagai insentif sokongan agar mereka terus menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Pengarah JKM WPKL, Fatimah Zuraidah Salleh berkata, penerima bawah skim bantuan kebajikan EPC terdiri daripada OKU bekerja yang berpendapatan RM1,200 dan ke bawah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan yang diterima adalah untuk menggalakkan OKU terus bekerja serta mampu hidup berdikari seterusnya menjadi individu yang produktif dan menyumbang kepada negara.

"Selain tidak melebihi jumlah pendapatan yang ditetapkan, kelayakan bagi penerima EPC adalah pemegang kad OKU JKM, dan berumur 16 tahun ke atas," katanya.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya mereka telah mampu berdikari, sesi konsultasi bersama sama klien akan dibuat bagi menamatkan bantuan kewangan, namun Jabatan sentiasa membuat kaji semula untuk menilai pembangunan OKU.

"Terdapat segelintir Masyarakat kita sering menganggap OKU ini tak produktif, sedangkan OKU sendiri tidak menganggap mereka tidak produktif, mereka boleh menyumbang kepada negara.

Iklan

"Kerajaan juga menggalakkan mereka bekerja dan jika memperoleh pendapatan melebih RM1,200 yang ditetapkan, maknanya mereka sudah bersedia untuk berdikari dan menyumbang sama dengan orang lain," katanya.

Fatimah berkata, sekiranya EPC dihentikan, ia tidak bermakna bantuan JKM terhenti setakat itu, sebaliknya terdapat bantuan sokongan lain yang boleh dimanfaatkan golongan OKU bekerja ini.

Katanya, perkhidmatan sokongan seperti kaunseling antara yang disediakan JKM untuk golongan ini sekiranya berdepan masalah yang memerlukan khidmat nasihat dan sebagainya.

"Sekiranya OKU mahu berniaga dan mereka memerlukan bantuan, JKM juga ada menyediakan Bantuan Geran Pelancaran dengan jumlah maksimum RM2,700 sekaligus. Di WPKL, seramai 100 penerima geran ini direkodkan pada tahun lalu.

"Jika mereka masih memerlukan bantuan tambahan, JKM sedia mengeluarkan surat sokongan untuk rujukan pelbagai agensi lain yang menyediakan bantuan untuk mereka, contohnya seperti Jabatan Tenaga Kerja yang memperuntukkan bantuan perniagaan sehingga RM100,000 untuk OKU yang sudah mempunyai tapak dalam bidang perniagaan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: OKU dapat bantuan tapi tak cukup!]

[ARTIKEL BERKAITAN: Gigih cari rezeki walaupun bertongkat]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Naikkan bantuan jadi RM500']

[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak amal konsep negara kebajikan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kadar bantuan JKM naik bermula 2018]