RAWANG -"Jika JKM naikkan bantuan RM400 kepada RM500 lagi baik kerana tidak semua OKU seperti kami diterima bekerja namun tetap perlu berusaha mencari pendapatan demi keluarga," luah R Murugan, 47, yang lumpuh sejak usia enam bulan kerana demam panas.
Bapa kepada empat anak itu kini menyara keluarga dengan meniaga makanan ringan berhampiran sekolah di Kuala Garing, di sini.
Pemegang kad OKU dan penerima bantuan JKM ini berkata, dia mula bekerja sebagai penjaja makanan ringan di hadapan sekolah di Kuala Garing sebelum ditawarkan kedai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk tempat lebih selesa.
"Walaupun sudah miliki kedai, saya tetap menjaja bagi mencukupkan apa yang kurang. Anak saya masih dua bersekolah, dan isteri pula kurang sihat jadi pendapatan RM600 hasil meniaga belum cukup dengan keadaan ekonomi sekarang.
"Bantuan JKM yang diterima sejak 20 tahun dari RM300 bertambah ke RM400 saya gunakan untuk tampung bayar sewa rumah RM450 sebulan," katanya.
Akuinya, dia dalam kesusahan dan kadangkala pernah rasa tertekan, namun tiada pilihan melainkan meneruskan kehidupan.
"Lihatlah barang jualan di kedai saya banyak yang kurang, dengan modal RM300 tak banyak barang yang boleh dibeli dan sekarang meniaga tanpa bekalan elektrik (kena potong) kerana tak mampu bayar bil.
"Walaupun susah saya tak berhutang kalau tak cukup kita kena ikhtiar urus perbelanjaan, anak-anak pula turut bantu jaga kedai," katanya.
Namun katanya, hidupnya kini sedikit senang dengan sokongan kerajaan negeri yang membantu keluarga untuk keperluan belanja makanan RM200 sebulan di bawah Kasih Ibu Smart Selangor.
"Anak-anak yang bersekolah di Tingkatan 2 dan 3 turut menerima bantuan baju sekolah melalui sumbangan disampaikan di sekolah baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi OKU, T Loganathan , 30, yang dihentikan bantuan RM200 oleh JKM sejak dua tahun lalu terpaksa bekerja sambilan sebagai pemandu kereta sewa untuk menampung kehidupan seharian.
"Saya lumpuh pada kaki sejak lapan tahun lalu akibat kemalangan dilanggar dari belakang sewaktu dalam perjalanan ke rumah kawan di Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal.
" Sejak itu saya sudah tidak boleh bekerja. Saya dah buat rayuan kepada JKM untuk sambung bantuan tapi sehingga kini belum menerima maklum balas," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: OKU dapat bantuan tapi tak cukup!]
[ARTIKEL BERKAITAN: Gigih cari rezeki walaupun bertongkat]
[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak amal konsep negara kebajikan]
[ARTIKEL BERKAITAN: 3,617 individu di Kuala Lumpur terima elaun pekerja cacat]
[ARTIKEL BERKAITAN: Kadar bantuan JKM naik bermula 2018]