Khazanah raih RM735.7 juta hasil penempatan saham TM

Iklan
Khazanah Nasional Bhd

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd mengumumkan kejayaannya menempatkan 172.3 juta saham Telekom Malaysia Berhad pada harga RM4.27 sesaham, sekali gus meraih hasil berjumlah RM735.7 juta daripada urus niaga tersebut.

Harga penempatan mewakili diskaun 3.61 peratus pada harga penutup pasaran bagi saham TM yang bernilai RM4.43 pada 21 Mei, 2020, merupakan penempatan berkaitan sektor telekomunikasi terbesar di Malaysia dan ketiga terbesar di ASEAN pada tahun ini.

Iklan
Iklan

"Penempatan saham ini merupakan sebahagian daripada usaha penyusunan semula keseluruhan portfolio Khazanah, dengan hasil daripadanya akan digunakan untuk pelaburan baharu pada masa depan serta usaha pemelbagaian peruntukan aset Khazanah,” menurut dana kekayaan negara itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan permintaan kukuh pasaran bagi saham mewah tempatan, penempatan saham itu membolehkan Khazanah meningkatkan apungan bebas dan daya tarikan saham TM sebagai pelaburan.

Iklan

Katanya, dana domestik berjangka panjang, pelabur institusi asing serta pelabur institusi sedia ada telah mengambil bahagian dalam penempatan saham itu.

"Pelabur institusi domestik mewakili sebahagian besar pembeli utama,” katanya.

Iklan

CIMB dan Credit Suisse adalah pengatur bersama penempatan saham ini.- Bernama