Empat lelaki pulang ke kampung kantoi di LPT2

Iklan
Keempat-empat lelaki diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai kebenaran rentas negeri.

KEMAMAN - Hasrat empat lelaki pulang ke kampung tidak kesampaian apabila cubaan rentas negeri dari Senai, Johor ke Besut berjaya dipatahkan pihak polis.

Kesemua mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Perasing, di sini semalam, kira-kira jam 9.15 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 37 tahun itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona dan memberikan alasan diarah bekerja apabila ditahan, namun ketika diminta surat kebenaran rentas negeri dikeluarkan polis, kesemua mereka gagal mempamerkan surat kebenaran tersebut.

"Hasil soal siasat, pemandu berusia 37 tahun itu mengaku telah menerima upah sebanyak RM350 untuk menghantar tiga lelaki lain pulang ke Besut. Pemandu itu memberitahu tiga lelaki berkenaan menunjukkan surat tawaran kerja kepadanya ketika memaklumkan mereka perlu merentas negeri dari Senai, Johor ke Besut.

Polis menyoal siasat empat lelaki berkenaan yang cuba rentas negeri dari Senai, Johor ke Besut Terengganu.

Iklan

"Kita telah memeriksa surat tawaran bekerja tersebut dan hasil semakan, didapati tempat bekerja yang tertera di surat adalah tidak wujud.

"Kesemua lelaki itu kemudiannya mengatakan surat tersebut adalah surat palsu dan dibuat oleh abang kepada kawan mereka, setelah disoal siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Jelas Hanyan, keempat-empat lelaki itu juga mendakwa berjaya melepasi tiga sekatan jalan raya di Kajang, Gombak dan Bentong dengan menggunakan surat tawaran bekerja terbabit.

Katanya, polis telah mengeluarkan kompaun ke atas keempat-empat lelaki berkenaan sebelum diarahkan untuk berpatah balik setelah tindakan kompaun selesai.