Kedah harap Cikgu Nur Farhana ditukarkan

Iklan
Dari kiri: Zamri, Mahfuz dan Dr Salmee sempat beramah mesra dengan golongan belia yang hadir pada Program Kerjaya Dun Suka Menanti di Dewan Kelab Kilat TNB, Mergong, hari ini.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berharap ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, dapat ditukarkan dari Pulau Pinang untuk bertugas di negeri ini selepas mengalami masalah kemurungan kerana terpaksa berulang alik sejauh 200 kilometer setiap hari.

Exco Pendidikan dan Sumber Manusia Dr Salmee Said berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah kini sedang menunggu keputusan yang akan diputuskan oleh JPN Pulau Pinang kerana Nur Farhana adalah guru di negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Jika JPN Pulau Pinang melepaskan beliau untuk berpindah ke Kedah, kami akan bantu beliau (Nur Farhana) untuk diletakkan di mana-mana sekolah yang sesuai dengannya. Kami boleh mencadangkan minta JPN Pulau Pinang pertimbangkan kes guru ini ditukarkan ke negeri ini.

"Memang kami ada terima banyak permohonan dan rayuan (guru-guru) untuk mohon tukar balik ke negeri ini tetapi sesetengah kekosongan yang ada tidak sesuai dengan guru yang memohon tersebut. Jadi ada yang terpaksa tangguh dulu kerana tidak dapat ditukar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Program Kerjaya Dun Suka Menanti di Dewan Kelab Kilat TNB, Mergong di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dan Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Zamri Yusof.

Iklan

Dr Salmee berkata, pihaknya banyak menerima permohonan dari guru-guru luar yang mahu berpindah ke negeri ini di atas beberapa faktor antara masalah keluarga dan tempat kerja jauh.

"Namun JPN terpaksa mempertimbangkan banyak perkara malah ada sesetengah kekosongan guru itu di sesebuah sekolah tidak menepati dan sesuai dengan mereka yang memohon.

"Bagi kes guru pendidikan Islam itu pula, beliau berharap permohonan ustazah tersebut untuk ditukarkan dapat diluluskan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi guru berkenaan,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, guru Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau tersebut dikhuatiri hilang selepas beliau tidak pulang ke rumahnya di Langgar, di sini seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, Nur Farhana dijumpai di Kuala Kangsar, Perak dalam keadaan selamat pada Khamis namun beliau sukar mengingati perkara yang berlaku sepanjang kehilangannya dan bermalam di surau untuk tidur.