Allahyarham Koperal Safwan naik pangkat

Iklan
Koperal Safwan yang terlibat Op Covid-19 meninggal dunia selepas dirempuh pacuan empat roda dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam sekatan jalan raya di Kilometer 2.8 Lebuhraya Lekas kira-kira jam 2 pagi 3 Mei lalu.

KUALA LUMPUR - Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang maut akibat dilanggar seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, dinaikkan pangkat Sarjan secara ‘posthumous’ atau anumerta berkuat kuasa 3 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang bersidang semalam bersetuju memberikan kenaikan pangkat berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata ia sebagai mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan Allahyarham yang memberi sepenuh komitmen sebagai anggota barisan hadapan dalam tugasan Op Covid-19.

"Saya sebagai Menteri Dalam Negeri, sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menegakkan keadilan terhadap Allahyarham Safwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Menurut Hamzah, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada pasukan PDRM.

Beliau berkata berdasarkan rekod, Allahyarham Safwan mula menyertai PDRM pada 1 Mei 2009 dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Kontinjen Selangor.

Iklan

Dalam kejadian 3 Mei lepas, Allahyarham Safwan yang bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu laju oleh seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Dalam kejadian 2.10 pagi itu, Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Pada 13 Mei lepas, pemandu terbabit K Kalaichelvan, 44, seorang ahli perniagaan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kajang.

Bagaimanapun, Kalaichelvan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan membawa kenderaan tanpa lesen memandu. - Bernama