KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) melalui sektor Agromakanan berjaya meraih jualan sebanyak RM12 juta dalam tempoh lebih sebulan menerusi platform e-dagang bagi pemasaran produk pertanian dan perikanan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, inisiatif yang digerakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan menggunakan platform Shopee itu merupakan satu gabungan bisnes baharu yang wujud disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, permintaan melalui platform e-dagang Agrobazaar dan Nekmatbiz terhadap bahan-bahan makanan basah, segar serta kering dilihat meningkat ketika pelaksanaan PKP.
"Jadi, pihak kementerian menggalakkan bentuk bisnes e-dagang ini sebagai satu penumpuan yang perlu diberikan oleh FAMA untuk membantu dan mengangkat status ekonomi petani serta nelayan.
"Kita juga mengharapkan kerjasama dengan Shopee akan dapat meningkatkan lagi produk-produk pertanian, sekali gus membantu nelayan, petani, pekebun dan penternak meningkatkan hasil jualan mereka,” katanya selepas melawat pusat operasi pendigitalan dan pengagihan hasil pertanian serta perikanan di FAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini kelmarin.
Ronald berkata, selepas ini FAMA memberi tumpuan untuk membuka pusat operasi e-dagang di seluruh negara berbanding hanya tertumpu di Lembah Klang sejak ia dilancarkan pada 1 April lalu.
Katanya, usaha itu akan memberi impak positif kepada hampir 1,500 petani, 100 usahawan FAMA dan 56,000 nelayan.
"Diharap ia menjadi satu trend baharu bagi pengguna untuk mendapatkan barangan makanan yang dikendalikan oleh FAMA, Nekmat dan beberapa lagi agensi pemasaran di bawah kementerian ini bersama-sama Shoppe serta platform digital yang lain.
"Saya ingin melihat inisiatif ini berkembang menjadi platform business to business (B2B), sekali gus memberi peluang kepada kumpulan petani dan nelayan untuk menjual produk mereka ke pasaran yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Ronald berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan beberapa syarikat yang berpengalaman mengendalikan perniagaan e-dagang untuk membantu memasarkan produk hasil pertanian kumpulan sasar secara pukal kepada pengedar mahupun pemborong.