KEPALA BATAS - Seorang wanita warga emas ditemui mati di kediamannya di Kampung Paya Lahar Kepah di sini malam tadi dipercayai dibunuh anak perempuannya yang mempunyai masalah mental.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mayat mangsa yang berusia 90 tahun ditemui dalam keadaan mukanya berlumuran darah dan terbaring di ruang tamu selain barang-barang di kawasan berkenaan berselerak.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan anak keduanya yang berusia 50 tahun dan mereka dikatakan bertengkar sejak pagi semalam.
Menurutnya, pertengkaran mereka menjadi lebih tegang kira-kira jam 9.30 malam sebelum anaknya itu dikatakan bertindak di luar kawalan dengan memukul muka ibunya dengan topi keledar dan tongkat yang digunakan mangsa.
"Siasatan mendapati mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama suspek dan cucunya yang berusia 16 tahun namun ketika kejadian cucunya itu berada di dalam bilik tidurnya selepas suspek melarangnya keluar.
"Remaja berkenaan yang ketakutan hanya mendengar pertengkaran diantara suspek dan mangsa namun tidak lama kemudian dia mendengar bunyi seperti barang jatuh dan bising," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Bimbang dengan keadaan itu, Noorzainy berkata cucu mangsa kemudian menghubungi sepupunya yang tinggal di Sungai Dua dan minta dia datang segera ke rumah berkenaan.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mengalami kemurungan selepas kematian suaminya tiga tahun lalu dan dia dikatakan berada dalam keadaan halusinasi selepas saksi memaklumkan yang suspek menyatakan dia perlu membunuh ibunya itu baru semua masalah akan selesai selain dia mahu selamatkan dunia.
Katanya, anak bongsu mangsa yang tiba di rumah berkenaan tidak lama kemudian menemui ibunya yang sudah tidak bernyawa sebelum menghubungi hospital.
"Polis yang menerima maklumat daripada hospital bergegas ke rumah berkenaan dan kita berjaya menahan suspek tidak lama kemudian.
"Selain itu, kita turut menemui topi keledar serta tongkat yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa," katanya.
Noorzainy berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan suspek yang dikatakan mempunyai rekod masalah mental turut dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dianggap selesai selepas tertangkapnya suspek.
Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat punca dan motif pergaduhan yang berlaku.