NAMA Zainal Abidin Hassan cukup besar dalam industri bola sepak Malaysia. Masakan tidak, beliau antara salah seorang penyerang legenda dalam sejarah Liga Malaysia (Liga-M) mahupun pasukan kebangsaan. Setiap kali menjejakkan kaki di tengah padang, pengulas pasti menyebut namanya.
Tidak dapat dinafikan bakat besar Zainal mengangkat namanya menjadi salah seorang penyerang yang sentiasa digeruni lawan dan disegani kawan sejak beliau memulakan karier pada 1980.
Namun, di sebalik kemegahan karier Zainal sebagai salah seorang penyerang berjaya di Malaysia, mungkin sebahagian besar tidak mengetahui bahawa terdapat seorang individu yang sebenarnya mengangkat karier Zainal.
Menurutnya, individu yang dimaksudkan ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu baginda menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).
"Pada 1983, saya bermain sebagai pemain pertahanan kanan untuk Selangor bermula 1980 hingga 1983. Selepas saya bermain tiga perlawanan bersama Selangor, saya berpindah ke Pahang tetapi saya tidak boleh diturunkan selama dua minggu disebabkan cooling period pada waktu perpindahan itu,” katanya.
Ketika itu, Pahang menjadi pasukan pertama mendapat khidmat tenaga import - jurulatih Frank Lord dari England dan dua pemain Singapura - T Pathamanathan dan R Suriamuthi.
"Saya masih ingat lagi ketika itu mantan jurulatih, Frank Lord telah berbincang dengan Tengku Mahkota Pahang (kini Yang di-Pertuan Agong) dan hasil perbincangan itu, baginda mahu saya bermain sebagai penyerang.
"Sudah pasti tekanan itu sentiasa ada tetapi saya mahu membalas kepercayaan dan keyakinan baginda. Hasilnya, saya memenangi Kasut Emas dan membantu Pahang memenangi Piala Malaysia kali pertama selepas menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Merdeka pada 1983.
"Siapa sangka perubahan posisi itu membuahkan hasil. Mungkin tanpa keputusan Al-Sultan Abdullah, nama Zainal sebagai penyerang negara tiada. Saya ingin merakamkan sejuta penghargaan kepada baginda yang sentiasa menaruh keyakinan tinggi terhadap saya,” katanya.
Di sebalik kemegahan kariernya sebagai penyerang terbaik negara, figura bernama Zainal ini turut mencuri tumpuan dengan penampilan tersendiri iaitu gaya rambut afro.
Ketika ditanya mengenai sentimen rambut tersebut, datuk kepada empat cucu ini mendedahkan beliau merupakan peminat besar dua band yang memiliki gaya sama - Jackson 5 dan Alleycats.
Menurut Zainal, beliau antara salah seorang pengikut setia industri muzik luar dan tanah air, sekali gus pengaruh dua kugiran kegemarannya itu menjadi penampilannya bergaya rambut afro dalam karier sebagai pemain bola sepak.
"Rambut afro ini adalah satu gaya yang cukup hebat ketika zaman itu. Saya masih ingat lagi semasa Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell, saya pernah ditegur cikgu supaya memotong rambut saya.
"Namun, ketika itu peraturan di sekolah, rambut tidak dibenarkan mencecah kolar baju dan rambut saya pula panjang ke atas. Itulah sebab mengapa saya berjaya mengekalkan gaya tersebut.
"Lebih manis dan mustahak, gaya rambut afro bukan sahaja menjadi trademark saya dan ia langsung tidak mengganggu rentak permainan dalam karier saya,” katanya.
Sebagai rekod, Zainal antara salah seorang pemain Malaysia yang terpanggil selain Datuk Soh Chin Aun mewakili skuad kebangsaan Thailand ketika menentang gergasi Jerman, Bayern Munich pada 1983.
Karier Zainal yang digandingkan dengan Dollah Salleh buat pertama kali dalam skuad kebangsaan pada tahun 1985, bukan sahaja gah sebagai pemain, malah beliau juga membuktikan sentuhan tersendiri sebagai salah seorang jurulatih berwibawa.
Dalam penampilannya sulung sebagai jurulatih, Zainal berjaya membantu Pahang memenangi trofi Liga Super edisi sulung 2004 dan menjulang Piala FA serta Piala Malaysia bersama skuad Tok Gajah pada tahun 2014.
"Pertama, saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan seluruh kerabat diraja Pahang atas sokongan sepanjang karier saya dalam dunia bola sepak tempatan.
"Tidak lupa juga sokongan teguh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Allahyarham ayah mertua saya, Zaini Idris, mendiang Frank Lord dan semua pemain senior saya iaitu Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun, mendiang Datuk R Arumugam, Reduan Abdullah serta ramai lagi.
"Tanpa mereka, tidak mungkin saya berada di sini dan menikmati pelbagai kejayaan dalam dunia bola sepak tempatan mahupun di peringkat antarabangsa,” ujarnya yang kini mencecah usia 58 tahun.