KUALA LUMPUR - Patuhi nasihat dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), amalkan penjarakan sosial dan tangguhkan dahulu aktiviti ziarah-menziarahi serta kunjung-mengunjung sanak saudara pada perayaan Aidilfitri ini.
Itu ingatan dan permintaan Panglima Tentera Laut Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany kepada Navy People atau Warga TLDM untuk sambutan Aidilfitri tahun ini yang dirayakan pada saat negara 'berperang’ bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
Mohd Reza dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri TLDM berkata, saranan itu bukan hanya untuk melindungi diri bahkan demi kebaikan orang lain terutama warga tua yang lebih berisiko untuk dijangkiti wabak Covid-19.
"Hubungilah keluarga di kampung dan gunakanlah komunikasi yang ada sebagai pengubat rindu dan kasih kita kepada keluarga tercinta serta merapatkan lagi tali persaudaraan kita.
"Marilah kita meningkatkan kawalan kendiri dengan normal baharu dan sentiasa mengamalkan kebersihan pada tahap yang optimum,” katanya.
Mohd Reza berharap agar Navy People akan terus memberikan tumpuan penuh dalam memenuhi arahan semasa kerajaan dalam melaksanakan tugas seharian kerana ia penting bagi memastikan persekitaran negara segera bebas daripada Covid-19.
Beliau berkata, ketika ini kapal-kapal TLDM beroperasi 24 jam di seluruh kawasan operasi maritim perairan negara.
"Dalam kegembiraan umat Islam menyambut Aidilfitri bersama keluarga kali ini, meskipun terbatas, ada dalam kalangan warga TLDM yang tetap melaksanakan tanggungjawab operasi pengawasan keselamatan perairan negara,” katanya.
Beliau berkata, pengorbanan barisan hadapan negara itu bukanlah dilakukan oleh anggota TLDM semata-mata bahkan ia merupakan pengorbanan semua ahli keluarga mereka yang terlibat.
"Teruskanlah semangat juang anda dan tabah dalam melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya sambil berpesan agar warga TLDM supaya fokus, berhati-hati dan jangan alpa dalam melaksanakan amanah yang diberi.
Mohd Reza turut mengajak orang ramai bersama-sama berdoa agar keselamatan warga TLDM yang bertugas terutama mereka yang berada di kawasan-kawasan operasi di dalam atau luar negara sentiasa terpelihara daripada sebarang bahaya dan malapetaka.- Bernama