Kontena tempat berteduh empat beranak

Iklan
Mohd Norhiesam (kanan) berharap dengan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai dapat meringankan beban Mohd Sany sekeluarga.

NIBONG TEBAL - Empat beranak di Kampung Sungai Baong di sini menjadikan sebuah kontena di pinggir bukit sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan sejak lima tahun lalu.

Lebih memeritkan kehidupan mereka apabila ketua keluarga, Mohd Sany Ibrahim, 45, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan persendirian tidak peroleh gaji penuh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Iklan
Iklan

Jika pendapatan Mohd Sany sebelum kini RM700 sebulan kini gajinya dipotong dan menerima bayaran RM400 sahaja selepas tiada aktiviti keluar masuk lori mengangkut tanah dijalankan di tanah tersebut.

Isterinya Rubiah Othman, 41, yang berniaga roti arab bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga tidak dapat berniaga sejak tiga bulan lalu menyebabkan punca pendapatan mereka terjejas.

Iklan

Mohd Sany berkata, dia dan isteri turut diuji mempunyai anak sulung orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun manakala anak bongsu berusia 6 tahun.

"Kami jadikan kontena sebagai rumah dan kami tinggal di sini ihsan daripada majikan saya. Sebelum ini, kehidupan kami memang agak sempit tetapi bertambah susah apabila gaji saya hanya dibayar RM400 daripada RM700.

Iklan

"Tiada lori masuk untuk mengangkut tanah, maka gaji saya pun akan dikurangkan. Sepanjang PKP, memang tiada lori masuk angkut tanah.Isteri saya pula tak dapat berniaga kerana pelaksanaan PKP.

"Sekurang-kurangnya hasil jualan RM500 sebulan dapat menampung perbelanjaan kami sekeluarga, tetapi sekarang isteri kehilangan punca pendapatan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Norhiesam (kanan) berharap dengan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai dapat meringankan beban Mohd Sany sekeluarga.

Menurutnya, kontena tersebut dilengkapi bekalan air dan elektrik yang diambil dari kilang majikannya berdekatan, manakala bil akan dipotong dari gaji.

Kisah keluarga itu mendapat perhatian Penyelaras UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap, Mohd Norhiesam Ismail yang tampil memberi sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut 24 Mei ini.

Mohd Norhiesam berkata, sempena Aidilfitri, beliau bersama Ketua Wanita UMNO Cawangan Sungai Baong, Payudiah Hassan telah mengunjungi keluarga Mohd Sany bagi menyampaikan sumbangan barang keperluan dan wang tunai bagi meringan beban mereka.

Menurutnya, kehidupan keluarga tersebut yang serba kekurangan itu amat meruntun hati dan beliau sedang dalam usaha untuk berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari kediaman lebih selesa kepada mereka.

"Saya amat sedih dengan keadaan keluarga ini, tambahan pula anak lelaki sulung mereka adalah OKU apabila sebelah matanya tidak dapat melihat. Kehidupan mereka yang terpaksa tinggal dalam kontena yang sempit amat meruntun jiwa.

"Lebih menyedihkan, banjir kilat akan berlaku jika hujan lebat. Sampai sekarang keluarga ini belum menerima bantuan dari mana-mana agensi berkaitan. Oleh itu, saya akan berbincang dengan Pusat Zakat Pulau Pinang dan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Selatan untuk membantu mereka," katanya.

Katanya, perbincangan akan dilakukan dengan agensi berkaitan untuk membantu membina rumah baru demi keselesaan keluarga itu.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan dalam akaun CIMB bernombor 7619479723 atas nama Mohd Sany Ibrahim.