Muhamad Syawal tak sempat 'bertemu' Syawal

Iklan
Gambar hiasan-:Gambar Kecil: Muhamad Syawal Ashahan

SUNGAI PETANI - Hasrat seorang remaja mahu membeli kasut raya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Perai - Sidam, Pinang Tunggal dekat sini semalam.

Muhamad Syawal Ashahan,17, dikatakan keluar rumah tidak sampai lima minit sebelum bapanya dimaklumkan menerima berita kemalangan kira-kira 3km dari rumahnya.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Ashahan Ayob, 69, berkata, mangsa baru sahaja membeli baju raya bersama ibunya, Selamah Samsudin, 44, sebelum kejadian itu dan meminta untuk keluar semula mencari kasut raya pada sebelah petang.

Bagaimanapun Ashahan sebak mengenangkan anak kedua dari empat beradik itu yang dianggap amanah ketika melaksanakan setiap tugasan.

Iklan

Sementara itu, Selamah berkata, dia tidak menyangka bahawa mereka sekeluarga akan menyambut Aidilfitri tanpa Muhamad Syawal tahun ini.

Muhamad Syawal maut dalam kemalangan petang semalam.

Lebih menyedihkan katanya, Muhamad Syawal yang dilahirkan pada hari raya keempat itu seorang anak yang rajin dan selalu membantu urusan di rumah.

Iklan

"Saya reda dengan ketentuan ALLAH dan berharap dia ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa terlanggar tiang lampu di kiri jalan.

"Mangsa sedang bergerak dari arah Pinang Tunggal menghala ke arah Sidam terbabas sendiri di kiri Jalan Kampung Pantai Perai dan terlanggar tiang lampu.

"Akibat perlanggaran yang kuat menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalaman badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.